Apa makna nikmat syurga jika ibu bapa diseksa di neraka?


  • Mukmin
  • Khamis, 06 Jan 2022

SESEORANG tidak akan tergamak menyuap makanan lazat di syurga, sebaliknya hanya duduk termenung sekiranya ibu bapanya di neraka. — Gambar hiasan

SEMUA makhluk ALLAH SWT semestinya mempunyai impian untuk memasuki syurga ketika berada dalam alam barzakh kelak.

ALLAH SWT tetap menjelaskan kenikmatan syurga dalam al-Quran, meskipun ia termasuk dalam perkara ghaib.

Ia bertujuan memberi motivasi kepada manusia supaya terus mencari keredaan ALLAH SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik,” Surah ar-Rahman, ayat 54

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalan-Nya,” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Namun, pernahkah kita bermimpi untuk membawa orang tersayang masuk ke dalam syurga?

Pendakwah bebas, Mohmad Wadi Annuar Ayub berkata, apabila seseorang masuk ke syurga, individu pertama yang terus difikirkan adalah ibu dan bapa.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar berkata, manusia seterusnya yang difikirkan oleh seseorang apabila masuk ke syurga adalah isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

"Kelam-kabut kita hari pertama mencari ahli keluarga kita.

"Apa maknanya nikmat syurga kalau ibu kita dalam neraka, ayah kita dalam neraka sedang diseksa oleh para malaikat?

"Tergamakkah kita suap satu suapan nasi yang sedap di dalam syurga, sedangkan mak kita sedang dibakar? Kita tak akan suap tapi akan termenung duduk," katanya menerusi perkongsian pengguna @raziyusrizal di laman TikTok.

Maka, Ustaz Wadi Annuar berkata, ALLAH SWT pernah menyebut di dalam al-Quran supaya memelihara diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka,” — Surah at-Tahrim, ayat 6

Ustaz Wadi Annuar berkata, sekiranya seseorang mengerjakan solat, maka individu itu perlu mengerah ahli keluarganya untuk berbuat perkara sama.

"Kalau kamu datang belajar ilmu agama, kamu mesti kerah seluruh ahli keluarga kamu untuk belajar ilmu agama.

"Tuan-tuan, kita melihat dengan mata kita, anak kita dipotong lidahnya oleh para malaikat. Lepas tu balik syurga nak seronok? Takkan dapat nikmat keseronokan itu, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ibu bapa, keluarga, seksa, neraka, syurga, nikmat