Status makanan dimasak bukan Islam ketika banjir


  • Mukmin
  • Rabu, 22 Dis 2021

SITUASI penyediaan makanan untuk mangsa banjir di Gurdwara Sahib Petaling jaya. — Gambar kredit/Twitter Tashny

MUSIBAH banjir yang berlaku baru-baru ini membuat ramai organisasi dan individu turun padang untuk membantu mangsa banjir yang terjejas termasuklah Gurdwara Sahib Petaling jaya.

Namun, segelintir warganet mempersoalkan bantuan makanan yang dimasak oleh Gurdwara untuk mangsa banjir, justeru persoalan adakah halal bagi seseorang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang bukan beragama Islam dibangkitkan di media sosial Twitter.

Mengulas isu tersebut, agamawan dan ahli Dewan Negara Malaysia, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.

"Hal ini terpakai dalam isu agihan bantuan, atau rumah terbuka yang sudah pasti saudara kita yang berlainan agama majoritinya faham konsep halal.

"Adapun bagi kedai makan, carilah yang ada logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Itu bermakna ia adalah dijamin dari segi syarak dan kualiti kebersihan," katanya menerusi Twitter.

Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya: Bermaksud "Abu Umar berkata: dan tidak salah memakan makanan orang musyrik, Zoroastrian dan semua kitab (bukan ahli kitab) di kalangan orang bukan Islam kecuali untuk penyembelihan mereka".

Dalam pada itu, Ustaz Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir pula berkata, status Muslim atau tidak, bukan menjadi kayu ukur sesuatu makanan yang dimasak itu halal atau haram.

"Yang menjadi ukurannya ialah zat dan bahan ketika masak. Kalau orang Islam masak daging babi, ia tetap haram. Kalau orang bukan Islam masak ayam, sayur, nasi, ia tetap halal.

"Waktu tak darurat pun kita boleh makan apatah lagi waktu semua orang tidak kira bangsa dan agama sedang dilanda bencana alam," katanya di Twitter. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram