Hamzah arah pegawai siasat kes Rohana


  • Primer
  • Ahad, 16 Jan 2022

ROHANA (kiri) memohon kerakyatan Malaysia pada 2016 dan sehingga kini tiada sebarang maklum balas. — Gambar kredit: Harian Metro

TERSENTUH dengan kisah Chee Hoi Lan dan Rohana Abdullah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan pegawainya untuk melihat kes Rohana yang ditinggalkan semasa berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu.

“Saya terharu apabila dimaklumkan mengenai kes ini minggu lalu.

"Saya memberitahu pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," kata Hamzah dalam catatan Facebook pada Ahad.

Perbezaan agama dan kaum tidak menghalang Hoi Lan membesarkan Rohana yang ditinggalkan semasa berusia dua bulan selepas ibunya warga Indonesia pulang ke negaranya.

Hoi Lan, 83, pernah menjadi guru tadika di mana ibu Rohana pernah bekerja sebagai tukang cuci sebelum membesarkan gadis itu, yang kini berusia 22 tahun, seperti darah dagingnya sendiri walaupun berbeza agama dan kaum.

Dalam laporan Harian Metro pada Jumaat, Hoi Lan berkata, dia sedar mereka berbeza fahaman dan kerana itu, dia berusaha untuk menyediakan segala keperluan Rohana termasuk menghantarnya mengikuti pelajaran agama seperti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Selain itu, Hoi Lan turut memastikan Rohana mempelajari asas agama Islam melalui pembelajaran di sekolah dan pergaulan dengan orang sekeliling.

“Saya sayangkan dia seperti anak saya sendiri. Sejak kecil, saya memastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadah agama sebagai seorang Islam sehingga hari ini.

“Tetapi sebelum saya mati, saya mahu melihat dia berkahwin, berjaya dan bahagia. Saya lega kerana sepanjang hidupnya, saya pastikan dia hidup sebagai seorang Muslim dan akan kekal begitu selama-lamanya,” kata Hoi Lan.

Terdahulu, Hoi Lan membawa isu Rohana yang tidak mempunyai kerakyatan dengan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Kuala Lumpur, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim.

Hoi Lan yang belum berkahwin berkata, sepanjang Rohana tinggal bersamanya, dia memastikan anak perempuannya itu terus mengamalkan agama Islam.

“Saya tahu ada perkara yang dia tidak boleh makan. Saya tahu ada masanya dia perlu berdoa dan itu tidak menjadi masalah sama sekali.

“Saya bertanggungjawab sebagai ibu, saya didik, saya asuh dia. Apa yang membezakan kami adalah budaya dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Rohana berkata, dia akan terus menyayangi ibu angkatnya, yang mesra dipanggil 'laoshi' (guru dalam bahasa Mandarin), walaupun selepas dia mengikut haluan sendiri.

Ibu Rohana, warga Indonesia, berkahwin dengan lelaki tempatan tetapi dia menghilangkan diri selepas Rohana dilahirkan.

“Pada masa ini, saya berdepan masalah mendapatkan kerakyatan. Saya faham kerana ibu saya orang Indonesia dan ayah saya menghilangkan diri sejak saya kecil.

“Saya memohon kerakyatan Malaysia pada 2016 dan sehingga kini tiada sebarang maklum balas.

"Jadi 'laoshi' dan saya berjumpa dengan Gulam Muszaffar, yang kebetulan merupakan pelajarnya pada 1980, untuk meminta bantuan dalam isu ini," kata Rohana.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram