'Tak boleh hapus Pendidikan Islam, KPM perlu susun semula jadual'


  • Massa
  • Rabu, 12 Jan 2022

BAGI Azizie, KPM perlu mengolah semula jadual Pai di sekolah kebangsaan dan kementerian itu perlu menilai semula kaedah pengajaran Pai untuk para pelajar.

WARGANET di laman media sosial Twitter hangat membincangkan berkaitan subjek Pendidikan Agama Islam (Pai) di Sekolah Kebangsaan (SK) yang dirasakan agak membebankan untuk pelajar bukan Islam.

Hantaran asal dari pengguna Twitter, rejaie meluah rasa tidak puas hatinya terhadap subjek itu dengan mempersoalkan kenapa anaknya perlu belajar lebih masa untuk Pai berbanding mata pelajaran lain.

hantaran PAI

CIAPAN asal pengguna Twitter, rejaie

"Anak perempuan saya pergi ke sekolah baru sejak kami pindah. Wow, sampai 5.5 jam untuk seminggu untuk Pai (Subjek Ulum, Tasmik, Al-Quran dan mengambil kira Jawi serta Bahasa Arab) secara keseluruhan. Itu sama seperti bahasa Inggeris dan lebih daripada Matematik dan Sains (masing-masing pada 2.5 jam dan 1.5 jam). Ini bukan sekolah agama ya. Ini sekolah kebangsaan," kata rejaie.

Susulan ciapannya itu, ramai warganet memberi pendapat termasuklah pengguna Twitter, lamkanahraf yang berpendapat Pendidikan Islam dan mata pelajaran yang berkaitan hendaklah diajar di luar waktu sekolah.

"Aku rasa lah kan, sekolah tidak patut jadi pusat ajar agama. Pendidikan Islam dan mata pelajaran yang berkaitan hendaklah dikhaskan untuk di luar waktu sekolah iaitu rumah ataupun sekolah agama seperti Sekolah Agama Rakyat (Sar). Pastikan sekolah terhad kepada yang diperlukan dan penting. Dalam konteks pendidikan, Pai tidak," kata lamkanahraf.

Susulan isu itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, menghapus atau mengurangkan masa Pai bukan cadangan yang baik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Apa yang perlu dilakukan ialah, kita perlu mewujudkan bentuk pendidikan yang holistik bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mana seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Semua itu perlu sesuai dengan dasar-dasar yang mewujudkan perpaduan kaum.

"Isu yang ditimbulkan oleh pengguna twitter itu ialah SK sudah menjadi seperti sekolah agama dan tidak berwajah kebangsaan. Ekoran itu SK sudah tidak menjadi pilihan semua kaum terutama menarik minat kaum India dan Cina," katanya.

Bagi Azizie, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu mengolah semula jadual Pai di sekolah kebangsaan dan kementerian itu perlu menilai semula kaedah pengajaran Pai untuk para pelajar.

"Pengajaran subjek Pai perlu mengikut peruntukan masa yang ditetapkan dan begitu juga subjek Bahasa Arab yang merupakan subjek elektif. Pensejajaran semula kurikulum Pai perlu dilakukan dengan mengambil kira pembelajaran agama di sebelah petang seperti Kafa.

"Keperluan mewujudkan satu bentuk aliran pendidikan yang bercirikan kebangsaan amat penting demi perpaduan kaum. KPM boleh melaksanakan kurikulum pagi berteraskan penguasaan bahasa, literasi dan numerasi serta kteativiti manakala di sebelah petang menumpukan subjek jatidiri seperti Pai/moral dan kecergasan fizikal," katanya kepada Majoriti.

Malah, beliau juga berpendapat kaedah pengajaran Pai perlu difokuskan kepada aspek penghayatan dan pembentukan nilai daripada berbentuk hafazan dan ingatan sahaja kerana subjek nilai itu yang akan membantu membentuk akhlak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram