TULAR di laman media sosial video suami 'unboxing' isteri atau ‘unboxing' pengantin yang kian menjadi ikutan pasangan pengantin baharu terutamanya di kalangan wanita bertudung baru-baru ini.
Video yang dimuat naik itu memaparkan pengantin lelaki akan membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada kepala pengantin terlebih dahulu.
Dalam video itu menunjukkan kedua-dua mereka masih memakai busana pengantin dan aksi 'unboxing' mereka akan dirakam menerusi cermin oleh pengantin perempuan, namun trend itu sebenarnya bercanggah dengan prinsip Islam.
Menurut, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi di laman Facebooknya, Rasulullah memerintahkan para suami agar memelihara kehormatan dan penampilan para isteri sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta.
"Perhatikan bagaimana Rasulullah memerintahkan isteri Baginda agar memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda.
"Kata Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: 'Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi)," katanya.
Tambahnya lagi, jika aksi 'unboxing' itu jadi ikutan kepada anak-anak muda yang bersekolah, mereka boleh keliru sama ada perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.
Malah, perbuatan itu juga boleh diikuti oleh pasangan suami isteri lain yang mana turut mendedahkan aksi mesra mereka dan secara langsung seseorang itu boleh menjadi pencetus kepada kemungkaran.
"Sabda Rasulullah: “Dan barangsiapa yang melakukan perlakuan jahat di dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia peroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut. — (HR Muslim)," katanya.
Dalam pada itu, dia juga berkata istilah 'unboxing' itu sepatutnya tidak layak digunakan pada isteri kerana isteri bukan sejenis barangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram