BARU-BARU ini kisah seorang bekas pondan menjadi tular di media sosial apabila dia berjaya memeluk Islam setelah sekian lama memendam hasrat namun malu untuk menyatakannya.
Perkongsian dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Titiwangsa di laman Facebooknya, menyatakan bahawa mak nyah yang kini bernama Ahmad Andrew itu sudah terlalu lama ingin belajar Islam namun ketakutan untuk pergi kelas agama kerana status mak nyah menyelubungi dirinya.
“Saya juga takut sebab banyak kontroversi orang-orang seperti kami. Nasib baik ALLAH beri hidayah, saya jumpa dengan ustaz,” katanya sambil menangis.
HANTARAN dari PAS Titiwangsa
Semua orang boleh memperoleh hidayah seperti Ahmad Andrew kerana hidayah ALLAH itu untuk semua orang tanpa mengira latar belakang, namun seseorang itu perlu tahu dan rajin untuk sentiasa berdoa diberikan hidayah ALLAH SWT.
Dalam pada itu, penceramah terkenal Malaysia, Ustaz Wadi Annuar berkongsi di laman Facebooknya mengenai doa diberikan hidayah sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi SAW bahawasanya baginda SAW pernah berdoa: "Ya ALLAH! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta)," [HR Muslim No: 2721]
Wadi Annuar berkata, pengajaran dari doa itu ialah Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat ‘afaf (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan ghina (tidak meminta-minta).'
"Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada ALLAH SWT. Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya ALLAH yang memberikannya.
"Setiap orang perlu meminta hidayah kepada ALLAH, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat," katanya dalam hantarannya.
Malah, Wadi Annuar juga menasihati untuk sentiasa minta kepada ALLAH SWT jika seseorang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertakwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai serta terhindar daripada perbuatan yang buruk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram