Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia


  • Primer
  • Jumaat, 07 Jan 2022

ALLAHYARHAM Mohd Yusof meninggal dunia kerana sakit tua. — Bernama

BEKAS Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (Adab), Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia petang Khamis kerana sakit tua.

Isterinya, Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim berkata, Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2 petang Khamis di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

"Arwah meninggal dunia kerana sakit tua,” katanya semasa ditemui di sebuah masjid di Kuala Lumpur sebelum solat jenazah.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail pukul 3 petang Jumaat.

Sementara itu, Ahli Majlis dan pengasas bersama Adab, Mohd Arof Ishak yang juga rakan kepada Allahyarham ketika dihubungi Bernama berkata, arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang sukar dicari ganti.

Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1986.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 1988 meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya, pagi Jumaat.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram