Bagaimana boleh hidup tenang sedangkan lidah pernah melukakan orang lain?


  • Mukmin
  • Jumaat, 17 Dis 2021

KADANG-KADANG lidah dan perbuatan seseorang banyak menyakiti orang lain tanpa disedari termasuk anak dan ibu bapa. — Gambar hiasan

INDIVIDU yang menyesali atas perbuatan diam jarang sekali didengari, namun lebih ramai yang selalu menyesali atas percakapan mereka.

Pendakwah bebas Asma' Harun menerusi laman Facebooknya berkata, kata-kata dan perbuatan seseorang sekiranya tidak dijaga pasti akan melukakan hati seseorang.

Daripada Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang penghijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah," - Hadis Riwayat Bukhari

Menerusi hadis itu, Asma' Harun berkata, adakalanya lidah dan perbuatan seseorang banyak menyakiti orang lain tanpa disedari termasuk pasangan, anak, ibu bapa, sahabat, rakan sekerja dan lain-lain sehingga menyebabkan hubungan rumah tangga atau persahabatan mula retak.

"Bayangkan, bagaimana kita boleh hidup tenang gembira sedangkan lidah kita pernah melukakan orang lain?

"Sedangkan apabila tiba saat kita dihisab nanti, mereka yang kita sakiti inilah akan datang menuntut hak mereka di hadapan ALLAH. Allahuakbar," katanya.

Justeru, Asma' Harun menasihati orang ramai supaya tidak memandang remeh hubungan dengan manusia, dengan menjadi lebih peka dan berhati-hati melalui lidah dan perbuatan.

"Mudah-mudahan kita dapat memenuhi ciri-ciri seorang Muslim, iaitu orang Muslim yang lain selamat daripada kata-kata dan perbuatannya.

"Semoga ALLAH sentiasa memberikan kesempatan kepada kita untuk terus menyayangi orang sekeliling sama seperti kita menyayangi diri sendiri," katanya.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri," - Hadis Riwayat BukhariMajoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lidah, perbuatan, perkataan, Asma' Harun