KES buli di Malaysia makin menjadi-jadi sehingga ada kes yang meragut nyawa seperti kes yang melibatkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Baru-baru ini pula kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak sehingga menyebabkan 10 pelajar terlibat dibuang serta-merta.
Menerusi media sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, perilaku buruk membuli merupakan salah satu sebab muflis di akhirat.
"Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka, " Riwayat Muslim (2581).
Hadis sahih itu diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu dari Nabi SAW dan dikongsi oleh pihak JAKIM sebagai renungan bersama agar kelakuan buruk itu dapat dihindari oleh pelajar.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, buli adalah sesuatu perkara yang bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan, maka ia adalah tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali.
"Hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh ALLAH SWT.
"Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat. Tambahan pula perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak," kata agensi itu.
Sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun," Surah al-Kahf (49)
PMWP menasihati agar jauhilah perbuatan buli-membuli, jadi ibu bapa, guru-guru, tokoh-tokoh masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membasmi perbuatan terkutuk itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram