Tindakan wajar dalam Islam jika sakit hati dengan seseorang


  • Mukmin
  • Sabtu, 01 Jan 2022

TEGUR dengan cara yang terbaik agar hentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan sakitkan hati orang lain. — Gambar hiasan

TENTU pada 2021 banyak cabaran yang dihadapi terutamanya cabaran dalam berinteraksi dengan orang tidak kira keluarga, rakan kerja, kawan dan juga jiran, namun ada kalanya sepanjang proses berinteraksi itu secara tidak sedar perbuatan serta kata-kata seseorang itu menyakiti diri orang lain.

Hanya orang yang mempunyai keimanan dan beretika yang selalu menjaga perilaku untuk tidak menyakiti hati orang lain dan jika seseorang itu teraniaya, adakah boleh untuk menjauhkan diri daripada seseorang itu bagi mengelakkan sakit hati dengan kata-kata serta perbuatannya?

Bagi mengulas isu itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, perbuatan menjauhkan diri daripada seseorang yang menyebabkan berlakunya kesakitan ke atas diri kita sama ada menerusi lidahnya atau perbuatannya, adalah suatu perkara yang dianjurkan di sisi syarak.

Perkara itu dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz Jabal R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari ALLAH, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia," [Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)]

Menurut agensi itu juga, hadis itu adalah isyarat yang zahir bahawa perbuatan duduk di rumah itu merupakan suatu bentuk penjarakan sosial (social distancing) bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri kita dan begitu juga dari menghalang kita melakukan keburukan kepada orang lain.

"Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak," kata agensi berkenaan.

Dalam pada itu, PMWP turut memberi cadangan untuk melakukan teguran dengan cara yang terbaik kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain.

"Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga ALLAH SWT memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik," kata agensi itu di hantaran blognya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram