
GOLONGAN muda di negara ini harus diberi peluang bagi menunaikan hak mereka untuk memberi kepada negara dan bukannya hanya menerima apa yang diberikan oleh kerajaan.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Wafiq Azman berkata, apabila anak muda diberi peluang untuk memberi, potensi yang ada dalam diri mereka akan lebih berkembang.
"Saya lihat golongan muda ramai yang sudah bersedia untuk ke hadapan bagi menunaikan hak mereka kepada negara, namun terdapat orang lama yang belum bersedia untuk memberi peluang itu kepada mereka.
"Perkara itu membantutkan lagi perkembangan yang ada dalam diri golongan muda kerana mereka tidak dapat menonjolkan potensi mereka yang sebenar," katanya kepada Majoriti.
PRESIDEN Pembina, Wafiq Azman.
Beliau memberi contoh syarikat peneraju superapp di Asia Tenggara, Grab Holdings Ltd, syarikat yang diasaskan oleh anak tempatan yang disenaraikan di pasaran di Nasdaq Amerika Syarikat baru-baru ini.
Malangnya, kata Wafiq, sokongan yang tidak diberi oleh kerajaan kepada syarikat itu menyebabkan negara jiran, Singapura mendapat nama hasil usaha yang dilakukan anak tempatan itu.
Tambah beliau, golongan muda di negara ini dilihat sudah bersedia untuk memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, namun perkara itu dibataskan oleh orang lama yang masih tidak mahu melepaskan jawatan mereka.
"Kalau kita lihat dulu ada cadangan untuk turunkan usia belia kepada 30 tahun, tetapi perkara itu ditangguhkan sehingga kini kerana terdapat pihak yang tidak bersetuju," katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kerajaan agak perlahan dalam mendengar suara belia dan medium yang wujud ketika ini adalah terbatas.
Jelasnya, kerajaan hanya laju mendengar suara golongan muda yang disuarakan oleh proksi atau rakan strategik parti yang memimpin, atau jika sesuatu isu tular.
Tegasnya, kerajaan harus mempunyai medium khusus yang sentiasa mendengar suara dan cadangan orang muda dengan telus tanpa mengira kecenderungan politik atau lain-lain perkara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram