BARU-BARU ini segelintir warganet di media sosial mendakwa banjir yang menimpa negara disebabkan dosa-dosa manusia yang semakin menimbun di bumi Malaysia.
Namun hakikatnya, kita bukan Tuhan yang boleh menghukum dan sepatutnya tahu sebab ALLAH memberikan satu musibah untuk sesuatu tempat.
Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Adnin Roslan menerusi hantarannya di Twitter berkata, setiap ujian yang ALLAH berikan, ada sebab yang hanya Dia sahaja yang tahu.
Ahmad Adnin turut memberikan beberapa sebab ALLAH menguji hambanya yang datang dalam pelbagai bentuk.
Penulis buku itu berkata, antara sebab pertama ujian itu datang adalah kerana ALLAH cintakan hambanya sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud "Sesungguhnya pahala besar kerana balasan untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan redha dengan ujian itu, maka ia yang akan meraih redha ALLAH. Barang siapa yang tidak suka, maka ALLAH pun akan murka." — (Hadis Riwayat. Ibnu Majah)
"Jika hati kita masih tertanya, kalau ALLAH cinta kita, kenapa kita diuji dengan ujian yang berat?. Boleh jadi kerana ALLAH ingin mengampunkan dosa kita," kata Ahmad Adnin.
Hujah itu dilampirkan dengan sabda dari Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya sakitnya orang Muslim itu membuat ALLAH menghilangkan kesalahan-kesalahan, sebagaimana api yang menghilangkan kotoran emas dan perak..." — (Riwayat Abu Daud)
Ahmad Adnin berkata, antara sebab ALLAH memberikan sesuatu ujian kerana ingin menyedarkan hamba-Nya serta memberi kebaikan.
Nabi SAW bersabda: "Jika ALLAH menginginkan kebaikan pada hamba, Dia akan segerakan hukumannya di dunia. Jika ALLAH menghendaki keburukan padanya, Dia akan menangguhkan balasan atas dosa yang ia perbuat hingga akan ditunaikan pada hari kiamat kelak." — (Hadis Riwayat Tarmizi).
"Ada banyak lagi sebab kenapa ALLAH timpakan satu musibah pada seseorang. Sebab tu jangan mudah-mudah kata dekat orang yang ditimpah musibah 'Kau banyak dosa ni', 'Selangor banyak dosa ni', 'Kelantan Terengganu banyak dosa ni.
"Ditimpa ujian yang berat bukan tanda seseorang itu banyak dosa. Tidak diuji bukan tanda seseorang itu suci dari dosa. Para Nabi dan Rasul yang maksum, adalah golongan yang paling berat ujiannya," kata penceramah itu.
Dalam pada itu, Ahmad Adnin juga memberitahu bahawa sifat orang beriman apabila ditimpa bencana, mereka akan muhasabah diri sendiri bukannya menghukum orang lain seolah-olah diri mereka itu suci.
"Saya harap, dalam situasi sulit macam ni, yang lebih utama ialah perbaiki amalan kita semua, minta ampun pada ALLAH, berdoa pada ALLAH, bantulah mangsa yang memerlukan bantuan dan jangan berbalah," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram