Kumpul kebaikan, dunia hanya tempat persinggahan


  • Mukmin
  • Khamis, 30 Dis 2021

JAKIM juga menasihati supaya kita jadikan kehidupan di dunia sebagai medan untuk kita beramal, menjadi insan bertakwa dan menyediakan persiapan menuju alam akhirat. — Gambar hiasan/Agensi

APABILA melihat lagak umat Islam sekarang, ibarat melupakan yang dunia adalah tempat persinggahan sementara yang mana negeri abadi, akhirat menanti.

Imam Al-Ghazali ada berpesan: “Ketahuilah dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana.”

Sebagaimana dalam firman ALLAH SWT, Surah al-Qasas yang bermaksud:"Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa," [Surah al-Qasas 83]

Bahagian dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman Facebooknya berkata, ALLAH SWT menyebut tentang golongan yang bakal peroleh kebahagiaan di negeri akhirat yang mana mereka ialah orang yang hidup bukan bertujuan mencari dunia, tidak sibuk mengejar kenikmatan dunia, memburu pengaruh dan kesombongan.

"Golongan kedua ialah orang yang takut akan dosa dan tidak berani melakukan kerosakan dan kejahatan dan ketiga ialah orang yang benar-benar bertaqwa kepada ALLAH SWT," kata jabatan itu.

Perkara itu menunjukkan bahawa dunia bukan tempat untuk manusia mengumpulkan segala kenikmatannnya dan leka dibuai kenikmatan dunia namun dunia adalah tempat untuk seseorang itu beramal mengumpul bekalan pahala untuk membahagiakan diri mereka di akhirat kelak.

"Pepatah Arab ada menyebutkan yang bermaksud “Dunia ini adalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat.

"Dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke negeri akhirat iaitu tempat yang kekal abadi," tambah bahagian dakwah Jakim di hantaran itu.

"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak," [Surah as-Syura 20]

Jabatan itu juga menasihati supaya kita jadikan kehidupan di dunia sebagai medan untuk kita beramal, menjadi insan bertakwa dan menyediakan persiapan kita menuju alam akhirat.

"Tidak mungkin kita akan bahagia, jika hanya membawa bekalan yang sedikit dan tidak berkualiti ke negeri akhirat, apatah lagi jika hidup penuh kesombongan dan hanya sibuk memburu dunia serta kemegahannya.

"Janganlah sia-siakan masa, umur, tenaga dan kekayaan yang kita miliki dengan menyediakan pelaburan untuk bekalan kita di akhirat kelak. Banyakkan amal soleh dan sifarkan dosa maksiat," kata Jakim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

akhirat, Islam, dunia, Jakim