MAIS tarik balik tauliah ajar agama Islam dari aktivis politik


  • Primer
  • Selasa, 28 Dis 2021

TAULIAH yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor akan ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021. — Gambar hiasan

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam di negeri itu yang diberikan kepada aktivis politik berkuat kuasa 31 Disember ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia berikutan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang enggan agama Islam dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri itu.

"Selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri ini.

"Mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, perkara itu dilakukan bagi menjaga kesucian Islam dan mengelakkan perselisihan dan perpecahan umat di Selangor.

Bagaimanapun, menurut Abdul Aziz, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih dibenarkan untuk menyampaikan pengajaran selagi tidak menyentuh hal berkaitan politik.

Katanya, pengecualian itu juga adalah selaras dengan titah Sultan Sharafuddin.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyampaikan pengajaran agama Islam di Selangor tanpa tauliah pihak MAIS.

"Mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang yang bertindak dengan cara menghina kuasa sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga merupakan satu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995).

Tegas Abdul Aziz, pesalah boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram