
BIARKAN kereta anda seadanya jika ia terperangkap dalam banjir. Cubaan menghidupkan enjin kenderaan selepas air banjir surut boleh membuatkan anda terpaksa berbelanja besar bagi tujuan pembaikan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata, pemilik kereta diingatkan untuk tidak sesekali menghidupkan enjin kereta semasa dan selepas banjir kilat.
“Anda sebaliknya disaran untuk mendapatkan khidmat trak tunda untuk menariknya ke bengkel dan biarkan mekanik mengalirkan air daripada enjin dan transmisi.
“Mereka boleh menyemak sama ada unit kawalan enjin (ECU) tercemar dengan air atau bahan lain. Jika ya, mereka boleh membaikinya dengan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Bermotor Pulau Pinang, Chan Kok Hoe berkata, membiarkan kereta dalam keadaan seadanya boleh membantu mangsa menjimatkan wang mereka berbanding tindakan cuba menghidupkan enjin.
“Kadang-kadang, orang ramai mungkin terdesak dan cuba memandu kereta mereka melepasi kawasan banjir untuk ke kawasan yang lebih tinggi.
“Tetapi cara terbaik adalah dengan tidak mengambil risiko. Sama ada kereta mereka dinaiki air semasa diparkir atau rosak separuh jalan, biarkan sahaja kereta di situ,” nasihatnya.
Chan berkata, pemilik tidak boleh menghidupkan enjin kerana air akan membanjirinya dan mengakibatkan litar pintas dalam ECU.
“Apabila ECU terjejas, kos pembaikan adalah sangat tinggi. Semasa banjir Pulau Pinang pada 2017, kos membaiki Myvi boleh mencecah RM30,000,” katanya.
Beliau berkata, pembersihan dan pengeringan kereta yang tenggelam akan menelan belanja antara RM2,000 hingga RM5,000.
“Tetapi jika anda cuba menghidupkan enjin kereta yang ditenggelami air, anda boleh menjangkakan kosnya akan meningkat kepada lebih RM30,000,” katanya.
Tambah Chan, semasa kejadian banjir Pulau Pinang pada 2017, sebuah pengeluar kereta di negeri itu menawarkan diskaun 50 peratus untuk semua alat ganti kereta bagi membantu pemilik kenderaan yang terjejas.
“Ini membantu orang ramai menjimatkan banyak wang. Jadi, pemilik di Klang dan kawasan terjejas boleh menyemak sama ada bengkel kereta boleh menawarkan sesuatu yang serupa,” ujarnya.
Pada masa sama, Chan memberitahu bahawa kereta yang terperangkap dalam banjir berhampiran laut berdepan risiko lebih buruk kerana air masin boleh merosakkan kereta hingga sukar untuk dibaiki.
“Air laut boleh merosakkan kenderaan kerana ia menghakis banyak bahagian logam badan.
“Dalam kes sebegini, sukar untuk memulihkan atau membaiki kenderaan. Malah selepas dibaiki, kereta yang tenggelam di dalam air laut boleh mengalami hakisan,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, Chan berkata, trak tunda dan bengkel kereta juga akan sangat sibuk dan hal ini membuatkan proses di bengkel memakan masa beberapa hari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram