Bantuan RM1,000 untuk semua mangsa banjir termasuk yang tidak dipindahkan — PM


  • Primer
  • Selasa, 21 Dis 2021

Pada 19 Disember, PM berkata setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri akan terima bantuan wang tunai RM1,000. — Gambar The Star
BANTUAN tunai RM1,000 yang diumumkan Kerajaan Persekutuan adalah untuk semua mangsa banjir dan bukan hanya untuk mereka yang dipindahkan ke pusat perlindungan sementara (PPS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap isi rumah yang terjejas akan diberi RM1,000 selagi nama mereka didaftarkan di pejabat daerah masing-masing.

“Mangsa yang tidak dipindahkan ke PPS juga akan menerima bantuan ini.

“Ramai mangsa banjir yang tidak dipindahkan terutama mereka yang tinggal di rumah dua tingkat tetapi mereka juga mengalami kerugian kerana tingkat bawah rumah masing-masing ditenggelami air.

“Saya harap pembayaran ini dapat disegerakan kerana ramai yang mengalami kerugian,” katanya kepada pemberita semasa lawatan beliau ke penempatan mangsa banjir di Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa.

Pada 19 Disember (Ahad), Ismail Sabri mengumumkan, setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri akan menerima bantuan wang tunai RM1,000.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan awal sebanyak RM100 juta untuk membaiki rumah dan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, bantuan, RM1000, Ismail Sabri