
RASULULLAH SAW menerusi hadis mengingatkan kepada umat Islam bahawa iman seseorang itu boleh menjadi lusuh dan usang, yang mana lunturnya iman seseorang itu disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya iman boleh menjadi menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian dari kamu sebagaimana lusuhnya pakaian. Maka mohonlah kepada Allah agar diperbarui iman di dalam hati kamu," — Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Tabrani
Bagi mengatasi isu ini, Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegram berkata, Rasulullah dikatakan pernah memberi panduan kepada para sahabat bagaimana untuk memperbaharui iman mereka.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, mereka digalakkan untuk mengungkapkan zikir lafaz tahlil iaitu Lailaha Illallah.
Sabda Rasulullah SAW: "Hendaklah kamu memperbaharui iman kamu. Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?
Rasulullah SAW lantas menjelaskan: “Dengan memperbanyakkan menyebut (zikir) Lailaha Illallah,” — Hadis Riwayat Ahmad
Ahmad Sanusi berkata, kalimah tahlil itu pada hakikatnya mengandungi ikrar tauhid dan pengabdian umat Islam kepada ALLAH SWT.
Beliau berkata, lebih kerap diulangi ikrar itu, lebih banyak umat Islam mengingatkan diri bahawa manusia dijadikan untuk mengesakan dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
"Malah jiwa yang sentiasa berzikir disifatkan sebagai jiwa yang hidup," katanya.
Sabda Rasulullah SAW: "Perumpamaan antara orang yang berzikir mengingat ALLAH dan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Justeru, Ahmad Sanusi mengingatkan umat Islam supaya memperbaharui iman mereka dengan ucapan zikir Lailaha Illallah.
"Hayati maksud kalimah yang diungkapkan agar kita menjiwa ikrar dan taat setia ini. Mudah-mudahan ia mendekatkan diri kita kepada Allah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram