Rasulullah amat memuliakan golongan OKU


  • Mukmin
  • Rabu, 15 Dis 2021

RASULULLAH SAW mencela individu yang bergurau semata-mata untuk mendapat gelak ketawa atau mengutip 'like' dari orang lain, tanpa memikirkan kewajaran gurauan tersebut. — Gambar hiasan

TINDAKAN merakam, melakonkan dan memuat naik video yang seakan mempersenda golongan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah satu kelakuan yang tidak berakhlak.

Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegram berkata, paparan video tersebut bukan sahaja mengguris golongan OKU, malah menggambarkan mentaliti masyarakat yang perlu diperbaiki.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, Rasulullah SAW mendidik para sahabat supaya menyantuni kekurangan yang ada pada sahabat lain, dan bukannya dijadikan bahan ketawa menerusi individu yang menyaksikan video tersebut.

Ahmad Sanusi berkata, sebahagian sahabat pernah mentertawakan Saidina Abdullah bin Mas'ud kerana beliau memiliki betis yang kurus.

Rasulullah SAW menegur perbuatan tersebut dan bersada: "Demi ALLAH yang jiwaku berada ditanganNya, kedua betis beliau (yang kamu ejek itu) lebih berat timbangannya dari Bukit Uhud," - Hadis Riwayat Ahmad

Terdahulu, tular video di laman sosial menunjukkan dua individu dengan salah seorangnya berpura-pura sebagai OKU dan berjalan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah pusat beli-belah.

Belum reda isu terbabit, kemudiannya tular satu lagi video menunjukkan beberapa wanita berkelakuan tidak normal ketika menggunakan tandas khusus untuk golongan OKU.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, Rasulullah SAW turut mencela individu yang bergurau semata-mata untuk mendapat gelak ketawa atau mengutip 'like' dari orang lain, tanpa memikirkan kewajaran gurauan tersebut.

Rasulullah SAW menegaskan: "Seorang hamba mengucapkan perkataan bagi tujuan bergurau (untuk digelak) sedangkan perkataan tersebut boleh membawanya ke neraka yang jarak keduanya antara langit dan bumi," - Mirqa al-Mafatih

Jelas Ahmad Sanusi, Rasulullah SAW sangat memuliakan golongan OKU, yang mana menurut Abu Nu'aim al-Asbahani, Baginda SAW pernah memuji dan menyanjung Amru ibn al-Jamuh, yang juga seorang yang berkaki cacat.

Katanya, Baginda SAW memuji beliau dan menggambarkan keadaan beliau yang sempurna di syurga kelak.

Jelasnya lagi, Rasulullah SAW juga meletakkan kepercayaan tinggi kepada Abdullah ibn Ummi Makhtum, yang juga seorang yang cacat penglihatan untuk menjaga Madinah ketika para pejuang Muslim pergi berjihad.

Malah, Rasulullah SAW juga pernah melantik beliau sebagai juruazan di Madinah.

"Kecacatan atau kekurangan fizikal tidak pernah merendahkan kedudukan seorang Muslim.

"Yang menjatuhkan nilai diri mereka adalah disebabkan kerana kurangnya adab dan lemahnya akal dalam menilai kewajaran sesuatu tindakan," kata Ahmad Sanusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram