Berdosakah jika termakan daging babi?


  • Mukmin
  • Jumaat, 05 Nov 2021

ORANG ramai perlu tahu membezakan antara daging babi dengan protein halal yang lain. — Gambar hiasan/Agensi

HUKUM memakan makanan yang haram seperti daging babi adalah haram dan berdosa besar.

Bagaimanapun, adakah seseorang itu akan tetap berdosa jika dia memakan sajian yang tidak diketahui mengandungi bahan yang haram?

Dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 173, ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud;

"Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain ALLAH."

Walaupun begitu, ALLAH memaafkan kesalahan yang tak sengaja diperbuat oleh hamba-Nya, termasuk makan daging babi.

Perkara itu dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud;

"Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Oleh yang demikian, jika umat Islam makan daging babi kerana tidak tahu atau tidak sengaja, maka ia tidak dikira sebagai dosa di sisi ALLAH SWT.

Bagi mengelak daripada tidak sengaja termakan daging yang haram, orang ramai perlu tahu membezakan antara daging babi dengan protein halal yang lain.

Perbezaan boleh dilihat daripada warna, tekstur, serat, kadar lemak, aroma dan rasa.

Daging babi mempunyai warna yang pucat berbanding daging lain manakala tekstur daging babi lebih lembik dan mudah disiat.

Serat daging babi juga lebih jarang dan renggang manakala lemaknya pula lebih elastik. Jika dimasak, warnanya menjadi coklat muda di bahagian dalam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

daging babi, haram, tidak sengaja, hukum