DUA wanita dan dua lelaki diburu polis dipercayai terlibat dengan dua video berasingan mempersendakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Video berkenaan yang tular di medis sosial sejak Khamis dipercayai memaparkan tindakan suspek-suspek menyalahgunakan kemudahan OKU negara ini serta secara terang-terangan dan tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan bagi menarik perhatian pengguna di media sosial.
Menurut, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komissioner, Beh Eng Lai, laporan polis itu dibuat oleh seorang wanita yang beranggapan kesemua individu tersebut telah menghina golongan OKU.
"Video pertama dimuat naik, telah dilakonkan oleh dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli belah di ibu kota.
"Mereka juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, satu lagi video memaparkan dua wanita telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.
"Mereka juga bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang.
"kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan media sosial secara tidak wajar," ujarnya.
Terdahulu, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi pada Khamis tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur pada kira-kira 1.20 tengah hari membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU.
Beliau selesai membuat laporan berkenaan pada 2.40 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram