Jangan rosakkan pahala dengan ungkit kebaikan


  • Mukmin
  • Khamis, 09 Dis 2021

ORANG yang mengungkit pemberiannya disifatkan sebagai angkuh dan ALLAH SWT tidak akan memandangnya di akhirat. — Gambar hiasan

SETIAP umat Islam wajib berbuat baik sesama insan lain tidak mengira bangsa, agama, latar belakang mahupun warna kulit kerana semua mahkhluk adalah sama di sisi ALLAH SWT.

Namun, di sebalik kebaikan perlu diselitkan dengan keikhlasan tanpa perasaan riak mahupun niat lain yang tersembunyi.

Dr Kamilin Jamilin menerusi laman Facebook berkata, alangkah ruginya orang yang berbuat kebaikan kepada insan lain, namun dia merosakkannya dengan ungkitan.

"Ingat tak dulu aku yang tolong kau sekian sekian..", "aku yang bayar itu ini.."," katanya memberi contoh.

Pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, seorang mukmin seharusnya berjiwa besar dan memiliki akhlak yang tinggi.

Beliau berkata, seorang mukmin juga perlu memberi, membantu dan berbuat kebaikan, dengan tidak mengungkit-ungkit segala ihsan.

"Kerana dia hanya mengharapkan ganjaran ALLAH SWT, bukannya balasan manusia di dunia," katanya.

Firman ALLAH SWT: "Wahai orang yang beriman. Janganlah rosakkan (pahala) pemberianmu dengan (sikap) mengungkit-ngungkit dan (kelakuan yang) menyakiti." - Ayat 264, surah al-Baqarah.

Kamilin menyifatkan bahawa individu yang sanggup memberhentikan kebaikan, bahkan memungkiri janji hanya kerana tidak mendapat balasan yang diharapkan sebagai jelik.

ALLAH SWT berfirman: "Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-ngungkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka itu akan beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

"(Menolak pemberian) dengan perkataan yang baik dan bersikap memaafkan adalah lebih baik daripada pemberian yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati." - Ayat 262 hingga 263 surah al-Baqarah.

"Orang yang suka mengungkit kebaikan atau pemberiannya adalah manusia angkuh yang di akhirat kelak ALLAH SWT tidak akan memandangnya mahupun bercakap dengannya dan baginya azab yang pedih," - Hadis Riwayat Muslim.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ungkit, kebaikan, manusia, pertolongan