MENERUSI Prinsip Rukun Negara, rakyat Malaysia dipupuk supaya mempunyai rasa cinta akan negara melalui prinsip kedua iaitu "Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara".
Perasaan cinta akan negara adalah penting dalam diri setiap warganegara supaya kita mempunyai sifat tanggungjawab dan semangat patriotik terhadap tanah air sendiri.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman Telegram, Islam turut mengajar umatnya semangat cintakan negara.
"Sejarah sendiri membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah wargnegara yang amat menyayangi Mekah, tanah tumpah darah Baginda.
"Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Mekah, Baginda SAW telah melalui satu kawasan yang dinamakan Juhfah. Ia adalah sempadan di bahagian utara negeri Mekah. Di sinilah Baginda memaling memerhatikan Mekah lalu bersabda:
“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraisy) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Riwayat Al-Tirmizi).
Jelasnya, sifat cintakan tanah air ini dilihat berlaku secara konsisten setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.
Ahmad Sanusi menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan terhadap Madinah.
Beliau berkongsi doa yang dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
“Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah.”
Malah, katanya, Saidina Anas bin Malik, iaitu pembantu Rasulullah SAW pernah bercerita dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:
“Sesungguhnya Rasulullah itu, sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.”
Menurut Ahmad Sanusi, Al-Imam Ibn Hajar ketika menghuraikan hadith ini menjelaskan, sikap Rasulullah SAW ini memberikan kepada kita gambaran bahawa tidak salah mencintai negara apatah lagi tempat tersebarnya dakwah Islam.
Kata Ibn Hajar dalam Kitab Fathul Bari: "Dan dalam hadis ini menunjukkan mengenai kelebihan Madinah, dan keharusan mencintai negara dan sayang kepadanya."
Berdasarkan Hadis Malik ibn al-Huwairith, kata Ahmad Sanusi, kita digalakkan untuk mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat andai kita sayang kepada negara.
"Jauhkan negara ini dari unsur kejahatan seperti rasuah dan pecah amanah dan selamatkan negara ini dari pemikiran yang merosakkan seperti pemikiran liberal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram