Sombong sebesar zarah pun tidak dapat masuk syurga


  • Mukmin
  • Sabtu, 30 Okt 2021

SOMBONG merupakan satu penyakit hati, yang mana penghidapnya merasa bangga dan memandang tinggi akan diri sendiri.

UMAT Islam dilarang daripada mempunyai akhlak atau sifat mazmumah, iaitu sifat yang bercanggah dengan ajaran Islam, dalam diri mereka.

Antara sifat mazmumah yang dibenci serta dicela oleh ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah sifat sombong.

Menurut khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dibacakan oleh khatib, sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana penghidapnya merasa bangga dan memandang tinggi akan diri sendiri.

Dalam satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.”

Kata khatib, sombong merupakan dosa pertama yang dilakukan iaitu ketika iblis ingkar suruhan ALLAH SWT untuk sujud kepada Nabi Adam AS kerana kesombongan dan keangkuhannya.

"Iblis merasakan dirinya ciptaan Allah yang lebih mulia, lebih banyak kelebihan dan kekuatan berbanding Nabi Adam AS, justeru Iblis tidak mahu sujud.

"Penyakit sombong hanya boleh disembuhkan berdasarkan kesedaran diri penderitanya sendiri, kerana sombong itu berpunca daripada kondisi hati seseorang," kata khatib.

Khatib berkongsi firman ALLAH SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 37 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Tambah khatib, Rasulullah SAW telah mengajar umatnya supaya sentiasa bersifat lemah lembut serta bertoleransi sesama insan, tidak mengira agama, bangsa dan fahaman.

Jelasnya, perkara yang utama adalah mencari kedamaian dan keharmonian dalam menjalani kehidupan duniawi ini.

Menurut khatib, Rasulullah pernah bersabda dalam satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh Muslim:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat zarah”.

Khatib berkata, terdapat tiga jenis sifat sombong yang harus umat Islam elakkan iaitu sombong kepada ALLAH SWT, sombong kepada Rasulullah SAW serta sombong sesama manusia.

Tambahnya, Orang sombong tidak pernah bersifat ikhlas yang menjadi teras kepada perbuatan dan amal ibadah. Segala perbuatan dan amalnya hanya sia-sia sahaja.

Apa yang lebih teruk adalah, sifat sombong merupakan syirik yang tersembunyi, kata khatib.

"Syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kerana orang yang syirik tidak mengaku ke-Esaan ALLAH SWT. Jika dikatakan sifat sombong merupakan penyakit syirik yang tersembnyi, sudah pasti balasan yang diterima lebih berat lagi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram