MENUTUP aurat dan menjaganya daripada penglihatan ajnabi merupakan kewajipan dalam Islam.
Di dalam syarat solat, syariah juga menetapkan bahawa seorang Islam perlu menutup aurat dan ia merupakan had minima untuk solat diterima.
Penekanan ini perlu diberi perhatian sebelum seseorang memulakan solat agar solatnya diterima oleh ALLAH SWT.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkongsi jawapan tentang persoalan orang ramai berhubung pemakaian pakaian ketat ketika solat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan.
Jelasnya, perkara itu dibahaskan secara terperinci di dalam kitab-kitab Fiqh. Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ (3/170).
"Aṣhabuna (Ulama’ Syafiʿiyyah) berpandangan bahawa wajib menutup kawasan aurat daripada pandangan orang lain dengan pakaian yang tidak tembus pandang kerana pakaian nipis sehingga orang yang lalu dibelakangnya boleh mengetahui warna putih atau hitam kulitnya tidaklah dianggap menutup aurat.
"Begitu juga pakaian tebal yang bercompang-camping kerana bahagian yang koyak tidak menutup anggota aurat. Justeru, jikalau warna kulit dan anggota aurat seperti pusat dan punggung sudah tertutup dan tidak kelihatan, maka sah solat seseorang itu disebabkan sudah menepati syarat asas menutup aurat.
"Terdapat pandangan lain dibawakan al-Dārimi dan Ṣahib al-Bayān mengatakan tidak sah solat jika menampakkan bentuk tubuh badan. Namun, pandangan ini salah sama sekali," jelasnya.
Tambahnya, selain itu, Syeikh Sayyid Sābiq juga ada menyebut dalam kitab Fiqh al-Sunnah (1/97): “Syarat wajib untuk pemakaian baju hendaklah menutup aurat walaupun pakaiannya ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan...”
Bagaimanapun, jumhur ulama’ mengatakan makruh memakai pakaian yang ketat ketika solat.
"Ulama’ malikiyyah mengatakan solat tetap sah walaupun mengenakan pakaian yang ketat tetapi hukumnya makruh (Karāhah Tanzihiyyah).
"Dalam keadaan ini, disunatkan untuk mengulangi solatnya (dengan pakaian yang tidak ketat) jika waktu masih berbaki," ujarnya.
Jelasnya lagi, Mazhab Hanbali juga senada dengan mazhab yang lain.
"Ibn Qudamah mengatakan di dalam kitab al-Mughni 1/414 ketika membahaskan pakaian yang menutup aurat yang bermaksud; Sekiranya pakaian sudah menutupi warna kulit aurat, sah solatnya walaupun pakaian tersebut menampakkan bentuk tubuh. Alasannya, penglihatan bentuk tubuh tidak dapat dielakkan walaupun pakaian tersebut tebal."
Hurainya lagi, sekali pun solat tetap sah walaupun mengenakan pakaian ketat, bukanlah bermakna umat Islam digalakkan untuk berpakaian ketat.
"Apatah lagi pakaian yang terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk kemaluan.
"Alternatifnya, sebelum memulakan solat, lelaki sangat digalakkan tukar seluar ketat dengan kain pelikat manakala wanita boleh menggunakan telekung yang disediakan di surau ataupun yang dibawa sendiri dari rumah," jelasnya.
Tambahnya lagi, perkara Itu lebih baik dan lebih membuatkan hati tenang dan jauh daripada pertikaian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram