RAMBUT adalah adalah mahkota wanita, yang mana rambut yang sihat serta fesyen menarik juga menambahkan keyakinan seseorang untuk berhadapan dengan orang ramai.
Terdapat pelbagai jenis fesyen, potongan dan warna rambut selari dengan arus kemajuan teknologi masa kini.
Meskipun beragama Islam, tidak salah sekiranya seseorang wanita itu mahu berdandan dan bergaya mengikut fesyen rambut cita rasa sendiri, selagi tidak melanggar hukum syarak dan tidak menayangkannya kepada golongan ajnabi.
Wanita Muslim dibenarkan mewarnakan rambut dengan syarat-syarat tertentu termasuk menggunakan bahan yang halal dan tidak kekal, namun adakah mereka dibenarkan membotakkan kepala untuk membuang pewarna kekal?
Menurut Saidina Ali R.A: “Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka,” -Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Al-Nasa’ie.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Muzakarah Fatwa Kebangsaan 2008 berkata, seseorang wanita dilarang membotakkan kepala kecuali bagi tujuan rawatan atau perubatan penyakit yang tertentu.
Pejabat itu berkata, umat Islam juga dilarang menggunakan produk pewarna kekal manakala setiap wanita Islam diwajibkan untuk menutup aurat dengan bertudung.
“Sebelum membotakkan rambut, mereka disarankan agar melakukan proses melunturkan pewarna rambut daripada bahan yang halal,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Katanya, sekiranya proses pelunturan warna tidak berjaya atau cara tersebut boleh memudaratkan, maka mereka dibenarkan untuk mencukur rambut yang telah diwarnakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram