PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada Sabtu akan menimbulkan pelbagai suasana persaingan dan pastinya masing-masing cuba menawan hati pengundi dengan cara yang tersendiri.
Menurut penulisan yang disumbangkan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di hantaran portal Indahnya Islam, perkara utama yang perlu dielakkan dalam suasana pilihan raya adalah fitnah.
Jelas penulisan itu, perkara berkenaan perlu dijauhkan oleh pihak yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya termasuklah pihak pengundi.
Jelasnya paling penting, perbuatan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada pihak tertentu adalah tidak dibenarkan dalam Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu akan merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir (pasti) merosakkan mereka itu” – (Hadis riwayat Abu Dawud). Bertakwa kepada Allah SWT dalam setiap percakapan dan perbuatan. Kita mempunyai timbangan wahyu dan akal, tinggalkan sesuatu perkara yang tidak membawa faedah kepada kita atau perkara yang memudaratkan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara ciri keindahan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
Oleh itu, umat Islam perlu bijak dalam menerima informasi dan pastikan setiap informasi yang diterima sememangnya sahih sebelum mempercayainya.
Perkara yang amat dikhuatiri apabila sesuatu maklumat datang daripada golongan fasik yang mempunyai niat jahat untuk memecahbelahkan umat.
Penggunaan internet sebagai medium menyebarkan berita perlu dilakukan dengan cara berhemah kerana terdapat sesetengah daripada netizen memanfaatkan medium maya ini secara tidak beretika dengan menghamburkan kata-kata kesat, lucah dan mendedahkan berita atau gambar yang membuka keaiban individu tertentu yang bersifat peribadi.
Jangan biarkan proses demokrasi ini dicemari dengan perkara yang tidak baik dan merugikan umat Islam kerana pilihan raya adalah medan untuk menentukan pemilihan pemimpin yang berwibawa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram