SUDAH menjadi kebiasaan bagi setiap calon parti politik untuk melawat kawasan mereka bertanding menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan harapan dapat meraih undian yang tinggi daripada penduduk setempat.
Namun bagi seorang pengguna Facebook, Sahul HM Al-Rawbari berkata, apa yang dilakukan oleh ahli politik itu hanyalah taktik untuk mengaburi mata rakyat.
Menerusi perkongsiannya itu, dia berpendapat bahawa rakyat mudah terpedaya apabila ahli politik menghadiri mana-mana majlis keramaian semata-mata mahu dilihat sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.
"Politik kita adalah Politik Kenduri. Mana-mana ahli politik yang boleh hadir kenduri kahwin, kenduri aqiqah, kenduri tahlil, kenduri sunat, kenduri kesyukuran, kenduri warung dan kenduri raya akan dianggap sebagai individu yang berwibawa, cakna dan prihatin.
TANGKAP layar posting yang dimuat naik oleh Sahul.—Facebook
"Demikianlah rakyat diasuh selama puluhan tahun. Mereka ini tidak didedahkan untuk peduli dengan elemen good governance, anti-rasuah, keadilan undang-undang, hubungan luar dan kecekapan khidmat awam (misalnya).
"Selama mana rakyat tak berpengetahuan dengan elemen di atas, maka selama itulah mereka mudah dimanipulasi oleh ahli politik yang senang menabur wang dan masa sekejap-sekejap untuk menunjukkan kehadiran dan kepedulian terhadap rakyat,' tulisnya dalam posting tersebut.
Menurut Sahul, ahli politik hanya memikirkan hasil jangka masa pendek sahaja berbanding kebaikan untuk rakyat dan negara pada masa hadapan.
Tambahnya lagi, perkara itu menyebabkan masih ramai rakyat yang boleh menerima golongan perasuah, penyamin dan perompak harta negara sebagai pemimpin politik hanya kerana golongan ini sentiasa hadir di kenduri, perhimpunan dan majlis keramaian.
Coretan lelaki berkenaan ternyata disokong warganet.
ANTARA tangkap layar komen warganet di posting tersebut.—Facebook
"Rakyat patut memerdekakan jiwa masing-masing. Kita nak kerajaan yang bekerja untuk kita, bukan nak abah, paklong dan ayah.
"Berhenti melayan orang politik sebagai VIP kayangan," tulis seorang pengguna Facebook, MissLia Azmi Ahmad.
"Ahli politik datang majlis bagi kain pelikat, kain ela, duit saku RM50.00, cukup mulia dan akan diagunggkan selalu la tu. Dia nak sakau dan rasuah, suka hati dia.
Janji, pakcik dapat kain pelikat, makcik dapat kain ela. Kasihan...," balas seorang warganet Facebook, Saufi Ahmad.
"Setuju sangat tuan haji. Paling berkesan taktik ni kepada orang-orang kampung dan felda, terutama sekali warga emas," kata seorang lagi pengguna Facebook, Amry Hashim.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram