LIPUTAN akhbar The Star berkaitan perlindungan pekerja menerima pengiktirafan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), apabila memenangi satu daripada anugerah utama agensi kerajaan itu.
Allison Lai memenangi Anugerah Wartawan Terbaik Media Cetak dan membawa pulang ganjaran wang tunai RM2,000 pada majlis Anugerah Media Perkeso 2021 dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) yang julung kali diadakan di The Majestic Hotel di ibu negara pada malam Khamis.
Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group, Esther Ng menerima anugerah itu bagi pihak Lai yang tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana beliau berada di Melaka untuk membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Lai yang mengakui teruja dengan perkara itu berharap beliau boleh berada di sana untuk menerima anugerah itu.
"Ini benar-benar satu kejutan yang menggembirakan dan saya berterima kasih kepada Perkeso atas pengiktirafan itu," katanya pada Khamis.
Pada masa sama, Lai juga memuji Perkeso kerana bersikap terbuka dalam berkongsi maklumat dan data dengan pengamal media, sambil menambah bahawa ia telah banyak membantu dengan penghasilan cerita yang baik dan menonjolkan pencapaian dan usaha Perkeso dalam keselamatan sosial dan perlindungan pekerja.
"Tahap etika kerja yang tinggi yang ditunjukkan oleh Perkeso harus dicontohi oleh agensi kerajaan lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menerima sejumlah 250 calon bagi sembilan kategori anugerah.
"Media bertindak sebagai penghubung antara Perkeso dan masyarakat dengan berkongsi maklumat dan berita.
"Tanpa media, mungkin ramai yang tidak tahu tentang fungsi dan faedah yang diberikan oleh Perkeso kepada pencarumnya," katanya.
Mohammed Azman turut merakamkan penghargaan pertubuhan itu terhadap media kerana 'mencipta sejarah demi sejarah bersama kami' ketika Perkeso meraikan jubli emasnya tahun ini.
"Setiap gambar dan petikan berita oleh saudara dan saudari telah membantu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang peranan Perkeso dalam melindungi keselamatan sosial di negara ini," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram