KEMATIAN seseorang adalah perkara yang perlu dihormati tidak kira sejahat mana perlakuan si mati ketika hayatnya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu kenyataan berkata, makruh hukumnya sekiranya seseorang bercakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah, lebih-lebih lagi bercakap mengenai hal keduniaan.
Pejabat itu berkata, waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian, alam barzakh dan menginsafi baki umur yang mereka miliki kerana lambat laun mereka yang hidup juga akan merasai perkara sama.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan penutup kehidupan yang baik kepada kita," kata kenyataan itu.
Pejabat itu berkata, mengiringi jenazah juga adalah perkara yang boleh mengingatkan seseorang kepada kematian dan adab kepada perkara tersebut antara lain adalah senyap dan tidak berkata-kata.
Al-Khatib Al-Syarbini menukilkan ucapan Imam Al-Nawawi dengan berkata “Imam Al-Nawawi menyebut dalam kitab Al-Majmu’, Pendapat yang terpilih bahkan yang tepat adalah apa yang dilakukan para salaf iaitu diam sepanjang berjalan bersama jenazah. Tidak boleh menguatkan suara dengan bacaan Al-Quran, zikir dan juga lain-lain.
"Bahkan sepatutnya dia menyibukkan diri berfikir tentang kematian dan apa-apa yang berkaitan dengannya.” (Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughi Al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz Al-Minhaj(1994), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.2 h.48)
Pejabat itu berkata, dalil bagi kenyataan imam Nawawi tersebut adalah berdasarkan riwayat Qays bin ‘Ubad RA, yang mana beliau berkata: “Para sahabat Rasulullah SAW tidak suka mengangkat suara ketika berada di samping jenazah, ketika berperang dan ketika berzikir,” (Riwayat Al-Baihaqi no 7262, Al-Sunan Al-Kubra(2011), Markaz Hijr Li Al-Buhuth wa Al-Dirasat Al-‘Arabiyah Al-Islamiyah, j.7 h.510)
Katanya, Ibn Hajar Al-Haitami juga menyatakan bahawa makruh untuk bercakap dengan kuat ketika mengiringi jenazah, yang juga disebut sebagai Al-Laghat, termasuk berzikir atau membaca ayat Al-Quran dengan kuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram