MENUNAIKAN amanah yang dipertanggungjawabkan adalah antara tuntutan utama di dalam Islam kerana setiap amanah yang diberikan membawa akibat yang besar jika gagal dilaksanakan.
Antara amanah yang wajib dilaksanakan adalah jawatan yang disandang tidak kiralah sama ada kecil atau besar.
Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, jawatan adalah kedudukan dalam pekerjaan yang menentukan tugas seseorang.
Jawatan kebiasaannya diberi kepada seseorang berdasarkan prestasi yang ditunjukkan dan mungkin juga diberikan atas permintaan oleh seseorang yang merasakan mereka layak menggalas sesuatu tugasan.
Namun, apa pula hukum meminta-minta jawatan dalam Islam?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum meminta jawatan pada asalnya tidak diharamkan secara syar’ie di dalam Islam, kerana larangan yang disebut dalam beberapa hadis tentang meminta jawatan bukanlah bersifat pengharaman.
Namun, jelasnya, ia mempunyai had dan batasan yang perlu diikuti seperti tidak cintakan dunia dan tidak lemah pada kepimpinan.
"Islam meletakkan beberapa garis panduan kepada umatnya berkenaan bab memegang amanah dan meminta jawatan.
"Tidak sewenang-wenangnya untuk terus mendapat sesuatu jawatan atau kedudukan begitu sahaja tanpa ilmu yang benar," jelasnya menjawab persoalan yang dikemukakan orang awam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian berkongsi sepotong hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari berkenaan bahaya meminta jawatan yang bermaksud:
"Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat”
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Ash-Shan’ani dalam syarah Bulugh al-Maram mengatakan bahawa hadith tersebut memberi peringatan bahawa sesiapa yang mempunyai jawatan atau kekuasaan tidak akan terselamat daripada neraka, kecuali mereka yang mengetahui akan kebenaran (haq) dan beramal dengannya.
Selain itu, Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsi satu lagi hadis yang menjelaskan akibat meminta-minta jawatan, yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
"Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau meminta permasalahan (jawatan) maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah SWT)."
Berdasarkan hujah-hujah yang disertakan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum meminta-minta jawatan adalah diharuskan dengan syarat yang ketat iaitu seseorang itu harus mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi berkenaan bidang yang diminta dan keadaan semasa, serta kuat dalam kepimpinannya.
"Sebaliknya jika individu tersebut lemah dan uzur maka tidak dibolehkan akannya untuk meminta jawatan.
"Namun, jangan dilupakan berkenaan akibat jika meminta jawatan iaitu diancam api neraka pada hari akhirat kelak," jelasnya.
Tambahnya lagi, ancaman ini sebagai peringatan keras untuk mereka yang tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada orang dibawah pimpinannya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam mentadbir urus kerana mementingkan habuan dunia dan diri sendiri. — Majoriti