Haram tunjuk baby bump ketika mengandung


  • Mukmin
  • Jumaat, 22 Okt 2021

BABY bump termasuk dalam bahagian aurat wanita.

PASANGAN suami isteri pasti akan berasa gembira apabila mendapat khabar bahawa si isteri sedang hamil.

Namun, kegembiraan itu membuatkan sesetengah wanita Muslim begitu teruja untuk berkongsi gambar baby bump atau perut memboyot mereka di media sosial.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan menunjukkan baby bump adalah haram di sisi Islam kerana ia termasuk dalam bahagian aurat wanita.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan mengenai kewajipan menutup aurat sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”.

Di sisi Mazhab Syafie, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua pandangan dalam menentukan kadar aurat wanita.

Pandangan pertama berpendapat bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat berdasarkan Imam al-Bujairimi dalam kitab Hasyiyah al-Bujairimi yang berkata:

“Aurat wanita yang merdeka iaitu di dalam solat. Adapun auratnya di luar iaitu di sisi lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya termasuk muka dan kedua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah”.

Bagi pandangan kedua pula, yang disebutkan dalam kitab Nihayah al-Mathlab, aurat wanita meliputi seluruh bahagian tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Ini adalah berdasarkan firman ALLAH dalam lafaz "kecuali yang zahir daripadanya" yang diterangkan oleh ahli tafsir sebagai bahagian muka dan kedua tapak tangan.

Hal ini disebabkan keduanya boleh dibuka ketika solat. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan bagi para wanita untuk menutupnya, menurut kitab itu.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama’ menggariskan syarat-syarat menutup aurat adalah pakaian hendaklah menutup seluruh aurat wanita, tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

"Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, maka fungsi pakaian tersebut tidak tercapai kerana sekalipun kelihatan wanita itu berpakaian tetapi sebenarnya dia telanjang," katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsi satu Hadis Nabi Muhammada SAW yang menerangkan tentang balasan bagi mereka yang tidak menutup aurat yang diriwayat oleh Muslim bermaksud:

“Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat, satu kaum yang mempunyai cambuk seperti ekor lembu, dengannya mereka memukul manusia dan wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, yang akan cenderung (kepada kejahatan) dan membuat suami mereka cenderung ke arahnya. Kepala mereka akan seperti bonggol unta yang condong ke satu sisi. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula mencium baunya dan sungguh bau syurga itu dapat dicium dari jarak demikian dan demikian”.

Berdasarkan dalil-dalil yang diberikan, kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jelas sekali bahawa baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat.

"Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

"Selain itu, hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

baby bump, bayi, hamil, aurat, wanita