
UNTUK memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, muhasabah diri adalah permulaan dalam usaha itu.
Muhasabah berasal daripada kata hasyib yahsabu hisab, yang bermaksud perhitungan.
Dalam erti kata lain, muhasabah adalah yakni upaya dalam melakukan penilaian dan evaluasi terhadap diri sendiri dalam melihat aspek kebaikan dan keburukan.
Dalam Islam, muhasabah ini bertujuan untuk memperbaiki hubungan kepada ALLAH SWT (habluminallah), hubungan kepada sesama manusia (habluminannas), serta hubungan dengan diri sendiri (habluminannafsi).
Bagi seorang muslim, muhasabah adalah hal penting dan sebaiknya tidak boleh dilewatkan.
Muhasabah diri juga adalah salah satu amalan yang disebutkan dalam al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Dalam surah Al Hasyr ayat 18, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud;
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,"
Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosanya.
Dengan muhasabah, seorang insan akan tahu banyak dosa yang dilakukan, sehingga ke depannya dia akan memperbaiki hal tersebut.
Selain itu, muhasabah juga akan memberi perspektif baharu dalam melihat setiap perkara yang berlaku dalam hidup.
Terdapat banyak kaedah muhasabah diri yang boleh diamalkan.
Kebiasaannya, muhasabah diri boleh dilakukan sebelum tidur dengan merenung kembali perbuatan dalam seharian.
Menilai semula adakah sudah berbuat kebaikan atau belum, atau adakah terlanjur melakukan kesilapan.
Selepas melakukan penilaian, lakukan solat taubat bagi memohon keampunan atas kesilapan yang dilakukan (sebaiknya lakukan di sepertiga malam).
Muslim yang taat akan bertaubat dan tak mengulangi kesalahannya.
Sebab taubat adalah bentuk penyesalan seorang Muslim. Sebagimana dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda, "Menyesal adalah taubat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Satu lagi cara muhasabah diri adalah meminta pandangan orang lain tentang sikap dan perangai diri.
Menerusi pandangan sama ada keluarga atau sahabat, seseorang akan dapat mengetahui bagaimana persepsi orang lain. Jika kurang menyenangkan maka bolehlah diperbaiki. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram