SETIAP makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat.
Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun.
Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.
Setiap manusia tidak mengetahui masa dan tarikh kematiannya memandangkan ia adalah rahsia Allah SWT.
Namun, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, terdapat dua golongan yang mengetahui ajal kematiannya.
Pendakwah bebas itu berkata, ia termasuk seseorang yang menghidap penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.
Katanya, beliau pernah menyaksikan seseorang yang dibuang usus besar dan usus kecil.
"Berapa lama nak hidup kalau tak ada usus besar dan usus kecil. Yang dia tahu, dia tahu waktu kematian.
"Oleh itu air matanya turun kerana menangis. Tapi Allah nak tunjuk nyawa dia dah dekat.
"Dia 100 kali lebih beruntung daripada kita. Dia tahu nyawa dia nak dekat dah. Dia pun sembahyang, zikir sampai tinggal tulang. Berat pun antara 10 hingga 15 kilogram yang tinggal.
"Kita tengok dengan mata kita dan menginsafi apa yang Allah tunjukkan. Allahuakbar. Untung dia, dia tahu bila nak mati," katanya menerusi laman YouTube.
Wadi Annuar berkata, golongan kedua yang mengetahu ajal kematiannya adalah individu yang dihukum gantung mandatori.
Katanya, masa hukuman gantung bagi setiap Muslim adalah antara jam 6 petang hingga 7 malam pada setiap hari Jumaat.
"Itulah orang yang paling tahu bila dia nak mati, tapi dia cuma tak tahu pada minit ke berapa, saat ke berapa nyawa dia akan keluar,"katanya.
Berkongsi pengalaman ketika berada di Muzium Penjara Melaka di Bandar Hilir dekat Melaka, katanya, bangunan itu adalah penjara asal yang mana banduan dikenakan hukuman berat seperti dirotan serta tempat hukuman gantung.
Beliau berkata, pegawai penjara menceritakan bahawa ada kes banduan akhir berbangsa Melayu mempunyai tatu penuh di badan dan bermisai lebat.
Namun, katanya, pada hari kematian berjalan dan hari terakhir banduan berkenaan menunaikan solat, dia menadahkan tangan meminta ampun kepada Allah SWT selain meminta Allah SWT untuk menjaga keluarganya.
"Dulu Allah bagi masa tapi lepas sembahyang terus balik. Nak sebut Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar sebanyak 33 kali yang tidak sampai dua minit pun tak boleh.
"Tapi bila dia tahu dia nak mati, tadah tangan tak mahu turun. Sampai orang panggil habis masa sebab nak pergi ke depan (tali gantung) yang hanya 7 meter sahaja.
"Dia tak boleh bangun sebab lutut tak boleh berdiri dah. Orang papah. Bila dah berdiri, kain yang tak ada lubang tutup kepala dia sambil berjalan," katanya.
Beliau mengingatkan, perkara paling penting bagi seseorang adalah bagaimana mengakhiri hidup ini.
Katanya, beliau khuatir sekiranya seseorang individu yang sebelum ini menjalani kehidupan sebagai orang soleh, namun di akhir hayatnya Allah memilih pengakhiran jalan hidupnya dengan cara lain.
"Ada seorang ahli ibadah wanita, tetapi dia kurung binatang sampai kucing mati duduk dalam sangkar. Nabi kata Allah SWT murka dengan perempuan itu dan Allah SWT masukkannya ke dalam neraka.
"Ada juga seorang pelacur wanita telah memberi minum kepada seekor anjing, Allah SWT ampunkan dosa dia. Dia bertaubat lalu Allah SWT masukkannya ke dalam syurga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram