DALAM Islam, perbuatan mengumpat atau ghibah, yakni menceritakan atau memberitahu sesuatu keburukan atau aib kepada orang lain tanpa pengetahuan orang yang diceritakan itu, adalah dilarang sama sekali.
ALLAH SWT berfirman menerusi ayat 12 Surah Al-Hujurat yang bermaksud:
“...dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar melalui laman Telegram berkongsi, perbuatan ghibah merupakan satu dosa dalam Islam.
“Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau berkongsi kata-kata Imam Al-Ghazali mengenai ghibah dalam kitab Ihya’ ‘Ulum Al-Din:
“...engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya.”
Menurut Wadi Annuar, perbuatan ghibah boleh berlaku melalui lisan, tulisan, gambar hatta melalui bahasa isyarat sekalipun.
Katanya, walaupun perkara yang diperkatakan tentang seseorang itu adalah benar, ia tetap tidak dibenarkan dan dianggap sebagai ghibah.
Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah, jelasnya.
Menurut beliau, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu Hadis daripada Abu Hurairah RA, yang diriwayatkan oleh Muslim:
“Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; ALLAH dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnahnya."
Beliau berpesan kepada seluruh Muslim supaya berhati-hati dalam pertuturan serta penulisan di media sosial supaya tidak terjebak dengan penyebaran perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah.
“Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan sebagainya.
"Bila disebar atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar,” katanya.
Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram