Sehari jadi pemimpin adil lebih baik berbanding ibadat 60 tahun


  • Mukmin
  • Sabtu, 06 Nov 2021

SEORANG pemimpin yang berani menegakkan keadilan diibaratkan dapat membersihkan bumi berbanding hujan selama 40 hari. —Gambar hiasan/Agensi

ALLAH SWT sangat membenci mana-mana individu yang melakukan kezaliman sama ada kecil mahupun besar, terutamanya para pemimpin.

Hal ini kerana pemimpin mempunyai lebih banyak peluang dan kuasa untuk melakukan kezaliman.

Sifat pemimpin yang adil adalah penting selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sehari seorang pemimpin yang adil adalah lebih baik berbanding menunaikan ibadat selama 60 tahun, manakala satu hukum yang ditegakkan di muka bumi adalah lebih bersih berbanding hujan selama 40 hari," -Hadis Riwayat Thabrani, Bukhari, Muslim dan Imam Ishaq.

Seorang pemimpin yang berani menegakkan keadilan diibaratkan dapat membersihkan bumi berbanding hujan selama 40 hari.

Mengapa perkara itu berlaku? Ini disebabkan keadilan akan membersihkan segala bentuk kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia, meskipun dia adalah seorang Muslim.

Tambahan pula, keadilan dalam sesuatu pemerintahan akan memberi kesan kepada ramai orang, sedangkan betapa banyak air hujan yang turun di muka bumi ini hanya mampu membersihkan kotoran atau najis.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Orang-orang yang melakukan keadilan akan berada di atas mimbar cahaya di sisi ALLAH SWT ketika hari kiamat, termasuk mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka, dalam keluarga mereka dan terhadap apa jua urusan mereka," - Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Nasa'i.

Nampaknya kini keadilan dalam segenap bidang kehidupan dituntut oleh segenap lapisan masyarakat. Mereka meminta keadilan dalam bidang ekonomi, politik, kehakiman serta pemerintahan yang bersih.

Amalan monopoli dan pakatan sulit juga wujud disebabkan manusia tidak dapat melakukan keadilan.

Semua elemen negara, baik rakyat mahupun pemimpin harus berusaha untuk mencapai keadilan.

Ini kerana hanya keadilan dapat memastikan kita hidup dengan sempurna sebagai manusia yang merdeka dan berdaulat dengan izin dan redha ALLAH SWT di muka bumi-Nya.

“Dan berlaku adillah kamu, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa,” - Surah Al Maidah (5):8]. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pemimpin, adil, hujan, Rasulullah SAW