SETIAP umat Islam pasti mempunyai impian untuk menjadi penghuni syurga apabila dibangkitkan di akhirat kelak.
Syurga adalah salah satu tempat yang penuh kesejahteraan, kesenangan, kenikmatan, kebahagiaan serta kemuliaan.
Orang mukmin juga mampu mengukir senyuman apabila mengetahui bahawa adanya darjat paling tinggi sekiranya menjadi penghuni syurga.
Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian," -Hadis Riwayat Ahmad
Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub menerusi laman Telegram berkata, Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa setiap Muslim akan masuk ke dalam syurga sekiranya memelihara enam perkara:
1. Jujur jika berbicara
Ibnu Qayyim menyatakan: Kejujuran adalah jalan yang lurus apabila orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.
Justeru jangan berbohong atau mereka-reka berita palsu apatah lagi jika ianya disebarkan ke media sosial.
2. Menepati janji
Tidak memenuhi janji adalah antara sifat munafik.
Justeru peliharalah janji apabila kita berjanji, jangan sesekali ingkar kepada janji.
3. Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan.
Justeru pelihara setiap amanah yang diberi kepada kita, jangan cuai dan culas.
4. Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)
Justeru jaga maruah diri dan elakkan diri daripada terlibat dalam perkara maksiat seperti zina.
5. Menundukkan pandangan
Ibnu Qayyim menyatakan: Menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.
6. Menahan tangan
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya.
Mereka berasa aman dengan kehadiran dirinya. Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis atau menyebarkan sesuatu berita fitnah atau palsu).
Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram