ANDAI hati berasa sedih kerana diejek, dicerca atau dipandang rendah oleh manusia, kembalilah kepada al-Quran, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menerusi laman Telegram berkata, umat Islam disarankan untuk menghayati kalam ALLAH SWT yang menenangkan jiwa keran di saat manusia membenci dan menjauhi, ALLAH SWT akan mendekati dan menyayangi.
Jelasnya, menurut al-Imam Ibn Kathir, pernah suatu ketika, wahyu turun sedikit lewat sehingga kaum Musyrikin mula mengejek Rasulullah SAW dengan mengatakan bahawa ALLAH SWT telah menjauhi dan meninggalkan Baginda SAW.
Lalu ALLAH SWT menurunkan ayat yang bermaksud: “(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).” — Ayat 3, Surah al-Duha.
Menerusi ayat itu, Ahmad Sanusi berkata, saat Rasulullah SAW dirundung kesedihan, ALLAH SWT menurunkan ayat-ayat al-Quran yang memujuk dan menyejukkan hati Baginda SAW.
"Ingatkah kita insiden yang berlaku pada Tahun Kesedihan?
"Rasulullah SAW kehilangan insan kesayangan Baginda SAW iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib yang banyak mempertahankan Islam.
"Rasulullah berasa sangat sedih sehingga tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Kesedihan. Lalu ALLAH SWT turunkan Surah Yusuf untuk menenteramkan hati Baginda SAW," katanya.
Tambahnya, menurut Sheikh al-Tantawi, surah Yusuf diturunkan pada saat Baginda SAW sedang ditimpa tekanan yang dahsyat dalam ujian dakwah.
Kata al-Tantawi: “Sesungguhnya penurunannya (iaitu Surah Yusuf) ini adalah pada saat yang dianggap tempoh yang paling sukar yang dilalui oleh Rasulullah SAW, iaitu ketika Baginda SAW berhadapan dengan tekanan dan seksaan dari Musyrikin setelah meninggalnya Abu Talib dan isteri Baginda Saidatina Khadijah," — Tafsir al-Wasit.
Justeru, Ahmad Sanusi berkata, umat Islam juga dinasihatkan untuk kembali kepada ALLAH SWT dan membaca al-Quran ketika jiwa berasa sedih dan tertekan di musim pandemik ini.
"Jadikan al-Quran sebagai penawar dan penyejuk hati orang yang beriman.
"Hayati setiap bilah perkataan serta mesej yang ingin disampaikan. Al-Quran adalah Kalamullah, mukjizat yang menjadi penawar buat jiwa yang terluka. Semoga Allah membimbing kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram