PBT ada kuasa larang jual arak kepada umat Islam


  • Primer
  • Khamis, 04 Nov 2021

IDRIS memberi contoh bahawa Kelantan dan Terangganu yang telah lama menguatkuasakan larangan penjualan arak kepada umat Islam. — The Star

PENGUATKUASAAN larangan penjualan minuman beralkohol kepada umat Islam di negara ini boleh dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ahli majlis di setiap negeri.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang turut memberitahu larangan berkenaan boleh dikuatkuasakan atas kebijaksanaan PBT dan ahli majlis.

Menurut beliau, ini kerana mereka mempunyai satu bidang kuasa untuk mengenakan peraturan itu dalam kalangan umat Islam di kawasan masing-masing.

"Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenakan peraturan memperketatkan penjualan minuman keras terutama kepada umat Islam.

"Terpulang kepada PBT dan ahli majlis, dan kita harap peraturan itu merupakan satu permulaan bagi melarang penjualan arak secara terbuka kepada umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Musa’adah Banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Kerang, Terong, Perak pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, seramai 127 orang menerima bantuan itu membabitkan 79 penerima di Terong dan 48 penerima di Sungai Kerang.

Sementara itu, Idris turut mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan Majlis Daerah Selama (MDS) Perak, yang tidak membenarkan penjualan arak secara runcit bermula tahun depan.

Menurut Mohd Akmal dilaporkan berkata, perkara itu telah diputuskan oleh MDS selaku pihak pentadbiran tempatan.

Idris berkata, ia turut boleh dilihat dengan beberapa negeri seperti Kelantan dan Terangganu yang telah lama menguatkuasakan larangan penjualan arak kepada umat Islam.

Ketika ditanya mengenai penukaran nama jenama arak Timah, beliau berkata, bidang kuasa itu terletak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Pemantauan berhubung perkara itu akan dilakukan oleh KPDNHEP.

" Kementerian itu yang akan putuskan penukaran jenama itu dan akan menguruskannya yang mana ia di bawah kendalian mereka,” ujarnya.

Terdahulu, isu arak mengguna pakai jenama ‘Timah’ menimbulkan kontroversi kerana didakwa tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Arak jenama 'Timah' dilancarkan pada awal bulan Oktober. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

idris ahmad, banjir, arak, KPDNHEP, umat islam