ORANG yang kurang berkemampuan tidak lari daripada perasaan cemburu terhadap orang yang dilebihkan hartanya.
Hal ini kerana Allah SWT mengurniakan nikmat untuk lebih banyak bersedekah, membantu orang lain yang lebih susah, bahkan memberi sebanyak mana harta bagi mereka yang berharta.
Namun hakikatnya, Asma Harun berkata, orang yang kurang berkemampuan juga tetap mempunyai peluang besar untuk bersedekah, masih banyak ruang untuk berkongsi dan sentiasa ada jalan untuk memberi.
Pendakwah bebas itu berkata, hakikat sedekah itu lebih luas berbanding terikat dengan harta semata-mata.
“Ini selari dengan sebuah hadis daripada Abu Dzar R.A, yang mana Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Senyummu kepada saudaramu merupakan sedekah, kamu melakukan ma'ruf dan melarang dari kemungkaran juga sedekah, kamu menunjukkan jalan kepada orang yang tersesat juga sedekah, kamu menuntun orang yang kabur penglihatannya juga sedekah, membuang batu, duri dan tulang dari jalan merupakan sedekah, dan kamu menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu juga sedekah," -Hadis Riwayat Tirmidzi, hadis Hasan Gharib,” katanya menerusi laman Facebook.
Menerusi hadis itu, Asma Harun menjelaskan, antara bentuk-bentuk sedekah yang boleh dilakukan selain harta termasuk senyuman, amar ma’ruf nahi munkar, menunjukkan jalan kepada orang yang sesat dan menuntun orang yang kabur penglihatan.
Selain itu, katanya, membuang batu, duri dan tulang dari jalan serta menuangkan air dari timba seseorang kepada timba orang lain juga antara sedekah yang disarankan.
“Sahabat, bersedekah bukan hanya dengan mengeluarkan wang semata, tetapi boleh jadi dalam bentuk masa dan tenaga. Bersedekah juga tidak perlu tunggu kaya dan berharta, tetapi ia hanya memerlukan jiwa yang ikhlas memberi seadanya.
“Mari sama-sama kita menjadi orang yang sentiasa bersedekah dan memberi. Moga ia menjadi saham pahala berterusan selepas kita meninggalkan dunia ini nanti,” katanya. — Majoriti