Banyak bersedekah permudah jalan hidup


  • Mukmin
  • Rabu, 13 Okt 2021

ALLAH SWT juga mahu hamba-Nya bertakwa bagi dipermudahkan urusan. — Gambar hiasan

SETIAP manusia tidak lepas daripada menghadapi sebarang masalah yang ada ketikanya ia boleh mendorong seseorang menjadi stres, tekanan mental malah lebih teruk ada yang bertindak untuk membunuh diri.

Meskipun terdapat pakar psikologi yang mampu memberi nasihat ketika berdepan dengan masalah, namun pada akhirnya seseorang individu itu harus kembali kepada ajaran agama masing-masing bagi menenangkan diri.

Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan, sekiranya seseorang menghadapi masalah dalam hidup, individu berkenaan barangkali tidak menunaikan tiga perkara yang disuruh oleh ALLAH SWT.

Pendakwah terkemuka itu berkata, ALLAH SWT meminta hamba-Nya untuk banyak memberi dan bersedekah kepada orang lain.

“Bila kita banyak sedekah, banyak infak dalam hidup kita, jaminan untuk dipermudah ada pada jalan hidup kita.

“Yang kedua, kita diajar supaya sentiasa bertakwa kepada ALLAH. Jaga diri dan jangan buat benda yang dilarang oleh ALLAH.

“Jaga diri supaya tidak membuat perkara-perkara yang dibenci disisi agama. Buat benda yang disuruh oleh ALLAH,” katanya menerusi laman Facebook.

Ahmad Dusuki berkata, perkara ketiga yang dituntut adalah seseorang harus membenarkan setiap apa yang dijanjikan kebaikan di sisi ALLAH SWT.

“Membenarkan setiap apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dan kita membuktikan balik menerusi amalan-amalan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Katanya, apabila tiga perkara itu dilaksanakan, ALLAH SWT berjanji akan mempermudah segala jalan hidup hamba-hamba-Nya.

“Yakin ada azab kubur, yakin pada diri kita ada nikmat kubur, yakin adanya pembalasan di padang mahsyar.

“Yakin pada diri kita adanya syurga dan adanya neraka,” katanya. — Majoriti