Kenapa ibu bapa perlu biasakan tanya anak ibadat solat?


  • Mukmin
  • Rabu, 27 Okt 2021

UMAT Islam disarankan untuk sentiasa mengingatkan anak-anak berkaitan ibadat solat. — Gambar Hiasan

SALAH satu perkara yang boleh diamalkan dalam hidup berkeluarga adalah dengan membiasakan diri bertanya kepada anak mengenai ibadat solat, kata Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Menerusi laman Telegram, beliau berkata, Rasulullah SAW pernah suatu ketika hadir ke rumah Saidatina Maimunah dan Baginda SAW mendapati seorang kanak-kanak, Abdullah bin Abas berada di rumah tersebut.

"Lalu soalan pertama yang ditanya oleh Baginda Nabi adalah:“Adakah anak kecil itu sudah solat?

"Lalu mereka menjawab: Ya, dia sudah solat.” (HR Abu Daud)

Ahmad Sanusi yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, anak-anak seharusnya sentiasa diingatkan mengenai solat.

Hal ini kerana apabila ibu bapa mereka meninggal dunia kelak, katanya, terpahat dalam ingatan anak-anak tersebut bahawa ibu atau ayah mereka sentiasa mengingatkan tentang ibadat itu.

Katanya lagi, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja mengingatkan solat kepada kanak-kanak, bahkan turut berbuat perkara sama kepada anak yang telah dewasa dan telah berkahwin.

"Ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini). Surah Taha: 132.

"Menurut al-Imam al-Qurtubi setelah turunnya ayat ini, Rasulullah SAW akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya, Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat.

"Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah SAW masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263)," katanya.

Justeru, Ahmad Sanusi mengingatkan umat Islam supaya tidak jemu bertanyakan anak mengenai ibadat solat.

"Jadikan soalan ini satu rutin sekalipun setelah anak tersebut berumah tangga, agar mereka tahu, bahawa solat adalah perkara yang paling utama dalam kehidupan mereka.

"Semoga Allah membimbing kita," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

solat, Rasulullah SAW, kanak-kanak