TATKALA umat Islam masih berada dalam bulan mulia kelahiran Rasulullah SAW selain ibadah umrah telah dibuka semula, ada pihak sengaja mencemarkannnya dengan pesta hiburan yang memalukan seluruh dunia Islam.
Tambahan pula, pendakwah bebas Asma Harun berkata, pesta itu dilakukan di negara yang menjadi pusat umat Islam menunaikan ibadah haji dan umrah.
Asma Harun berkata, sebelum ini tular gambar dan video mengenai festival hiburan besar-besaran yang dikenali sebagai 'Riyadh Season' di media sosial.
Beliau berkata, festival yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi itu adalah salah satu usaha untuk merancakkan kembali ekonomi dan industri pelancongan.
"Namun, sebuah negara Islam yang terdapat kalimah La ilaha illallah pada bendera negara, ia suatu yang amat mendukacitakan," katanya.
Bukan sekadar itu, Riyadh Season kali ini merupakan kali yang kedua selepas kali pertama ia pernah diadakan pada tahun 2019, dengan jemputannya termasuklah artis antarabangsa iaitu kumpulan BTS dari Korea.
Antara pengunjung yang hadir pada festival Riyadh Season. — Agensi
"Festival yang dijadualkan bermula sejak bulan Oktober 2021 sehingga bulan Mac 2022 ini menampilkan tujuh konsert artis Arab, enam konsert artis antarabangsa, 350 persembahan teater, perlawanan gusti WWE dan banyak lagi acara hiburan yang lain.
"Dalam acara pembukaannya beberapa hari lalu, seramai lebih 250,000 orang telah hadir untuk menyaksikannya.
Jumlah ini belum termasuk dengan jutaan lagi penonton secara langsung menerusi saluran televisyen dan media sosial," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Asma Harun berkata, perkara itu adalah sebuah ujian yang berat bagi seluruh umat Islam.
Katanya, tatkala ramai sedang berfikir untuk melaksanakan ibadah umrah di tanah suci selepas prosedur operasi standard (SOP) mula dilonggarkan dan tidak perlu lagi solat berjemaah dengan penjarakan saf, namun sebahagian pihak di negara itu memilih untuk berhibur dan berseronok dalam kemaksiatan yang jelas.
"Sedar atau tidak, perlahan-perlahan, budaya liberal yang selama ini menjadi amalan masyarakat barat seolah sudah meresap masuk ke dalam jiwa orang-orang Islam.
"Saya pasti seluruh umat Islam yang masih ada iman dalam hati turut berasa amat kecewa dengan keadaan ini. Dalam situasi pandemik yang baru saja ingin pulih, festival yang dilakukan ini benar-benar telah menambah musibah kepada ummah.
"Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila festival hiburan sebesar ini dianjurkan di sebuah negara yang menjadi tanah bermulanya penyebaran agama Islam. Di manakah panduan al-Quran dan as-Sunnah yang seharusnya dijunjung? Adakah semuanya hanya tinggal ucapan dan kata-kata kosong?" soalnya.
Katanya, semua manusia diberikan amanah untuk menjalankan peranan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini, namun tugas sebagai seorang pemimpin negara lebih besar kerana diberi peranan memikul amanah untuk memelihar agama dan mentadbir negara dengan syariat Islam.
Jelasnya, tanggungjawab itu amat berat dan mesti dipikul dengan penuh ketakwaaan kepada ALLAH SWT.
"Besar harapan kita supaya segala program maksiat dan hiburan melampau yang diadakan di mana-mana jua negara dibanteras dan dihentikan, agar perkara ini tidak menjadi sebuah normalisasi kepada masyarakat Islam.
"Kita amat bimbang apabila maksiat mula dianggap biasa, ALLAH SWT juga mula menurunkan bala. Nauzubillah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram