Gembira kelahiran Nabi SAW, Allah SWT ringankan seksaan kubur Abu Lahab setiap Isnin


  • Mukmin
  • Selasa, 19 Okt 2021

Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. —Gambar hiasan

ALLAH SWT meringankan seksaan kubur ke atas bapa saudara Nabi Muhammad SAW, iaitu Abu Lahab pada setiap hari Isnin, kata Mohamad Wadi Annuar Ayub.

Pendakwah bebas itu berkata, hal ini kerana Abu Lahab adalah manusia yang paling gembira ketika menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW.

"Dia musuh Islam, berapa puluh kelebihan Abu Lahab? Satu sahaja. Dia gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW," katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook.

Pada masa sama, Mohamad Wadi berkata, beliau hairan apabila terdapat segelintir pihak yang menjatuhkan hukum sebagai bidaah, sekiranya umat Islam menyambut Maulidur Rasul.

Justeru, beliau mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan kumpulan yang menjatuhkan hukum berkenaan, kerana tidak selari dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sebab ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengharuskan sambutan Maulidur Rasul dan tengok sendiri macam mana Allah SWT memberikan keringanan kepada Abu Lahab pada setiap hari Isnin.

"Ini kerana Isnin adalah hari kelahiran Rasulullah SAW dan lebih kurang 1,400 tahun yang lepas, ketika Nabi SAW dilahirkan atau malam Baginda SAW dilahirkan, manusia yang paling gembira ketika itu adalah Abu Lahab, " jelasnya.

Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Nama sebenar Rasulullah SAW adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

Baginda SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal atau 20 April 571 Masihi, yang juga dikenali sebagai Tahun Gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang Kota Kaabah.

Tempat kelahiran Baginda SAW adalah dilahirkan di Makkah Al-Mukarramah. — Majoriti