Dakwah tak sempurna tanpa amar makruf nahi munkar


  • Mukmin
  • Sabtu, 23 Okt 2021

KAMILIN menyarankan pendakwah supaya cukup sekadar mengajak orang ramai ke arah kebaikan. —The Star

SESEORANG individu disarankan untuk tidak mencegah kemungkaran yang sedang berlaku sekiranya ingin menjadi pendakwah yang disukai orang ramai, kata Dr Kamilin Jamilin.

Pensyarah di Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, sebaliknya seseorang pendakwah itu cukup sekadar mengajak orang ramai ke arah kebaikan.

"Semua orang suka dan setuju bila diajak buat perkara yang baik, tapi tak ramai yang suka bila ditegur atau dinasihati.

"Jika pendakwah inginkan populariti, kejarlah keredaan orang ramai, tapi jika inginkan kemanisan dan hakikat dakwah para Rasul, raihlah keredaan ALLAH.

"Tidaklah dakwah para Nabi dan Rasul dimusuhi melainkan setelah mereka mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan umat mereka," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Kamilin berkata, umum mengetahui bahawa apabila seseorang individu itu mencegah kemungkaran meskipun dengan sebaik-baik cara, mereka akan menerima ujian termasuk ditentang, dicemuh, dicerca dan dilabel.

Namun, beliau berkata, aktiviti dakwah tidak akan sempurna dan tidak akan seimbang tanpa amar makruf nahi munkar atau dalam erti kata lain mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Pepatah ulama mengatakan yang bermaksud: Orang yang diam daripada (menyampaikan) kebenaran adalah syaitan bisu dan orang yang bercakap dengan kebatilan adalah syaitan yang bercakap," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak berhenti daripada mengajak manusia ke arah kebaikan sekiranya mahu menjadi umat yang terbaik.

"Dan teruskanlah mencegah kemungkaran dengan berhikmah. Itulah rahsia kegemilangan generasi para sahabat dan Khulafa' al-Rasyidun RA.

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (selagimana kamu) menyuruh ke arah yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada ALLAH," - Surah al-Imran, ayat 104. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dakwah, Dr Kamilin Jamilin, mungkar