Berdakwah harus dengan adab dan hikmah


  • Mukmin
  • Rabu, 20 Okt 2021

MENYAMPAIKAN dakwah merupakan salah satu tanggungjawab yang dituntut oleh Islam kepada semua umatnya.

MENYAMPAIKAN dakwah adalah salah satu tanggungjawab yang dituntut oleh Islam kepada semua khalifah di muka bumi ini.

Perintah untuk menjalankan dakwah banyak diberitahu melalui ayat-ayat suci Al-Quran serta Hadis Nabi Muhammad SAW.

Namun, dalam berdakwah, seseorang Muslim haruslah menjaga adab dan hikmah serta menggunakan kaedah yang sesuai supaya tujuannya tidak tersasar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, dalam berdakwah, perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau hendaklah dielakkan.

"Kewujudan pelbagai medium semasa khususnya media sosial turut memberi impak positif dalam merancakkan lagi program keilmuan dan dakwah. Perkara ini amat dipuji dan disanjung tinggi.

"Semua pihak sama ada para asatizah (guru atau penceramah agama) dan seluruh lapisan masyarakat harus menjaga adab dan disiplin ilmu dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, katanya, ilmu yang hendak disampikan juga perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam agar ianya tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

Ini, tegasnya, bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

"Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah juga turut disarankan untuk mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah dari pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Walaupun tugas menyampaikan ilmu dan dakwah merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak.

Beliau turut menasihati masyarakat khususnya umat Islam agar mendapatkan ilmu dari para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan, dan merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti sekiranya terdapat keraguan mengenai sesuatu perkara.

"Jakim memohon kerjasama dan sokongan dari semua pihak untuk sama- sama kita menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara.

"Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam," kata Abdul Aziz.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para pendakwah dan penceramah agama di negara ini yang sentiasa aktif menyampaikan ilmu dalam mendidik umat ke arah yang lebih baik dan sempurna. — Majoriti