ISLAM menuntut umatnya untuk menjaga kesihatan serta nyawa kerana ia merupakan salah satu pemberian daripada ALLAH SWT yang paling besar untuk hambanya.
Umat Islam hendaklah berikhtiar mencari jalan penyelesaian yang terbaik apabila ditimpa penyakit dengan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penawar.
Dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Vaksin Ikhtiar Terbaik’ oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), khatib berkata, vaksin juga termasuk dalam salah satu usaha dan ikhtiar dalam rawatan perubatan.
“Apabila kita ditimpa penyakit, jalan penyelesaian yang terbaik adalah berikhtiar dengan membulatkan tekad dan keyakinan segala penyakit dan kesembuhan datangnya daripada ALLAH SWT.
“Vaksin merupakan suatu langkah awal pencegahan penyakit yang efektif di era moden. Pengambilan vaksin dapat menjadikan antibodi lebih kuat semasa berhadapan dengan Covid-19.
“Ini kerana, mencari ubat dan berubat merupakan amalan yang dituntut dalam ajaran Islam. Lebih-lebih lagi konsep ini selari dengan prinsip Maqasid al-Syariah dengan keutamaan memelihara nyawa,” katanya.
Jelas khatib, menjadi suatu tanggungjawab bagi seorang Muslim untuk mencari rawatan alternatif demi memelihara nyawa, bertepatan dengan kaedah fiqh yang melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang di persekitaran, sama ada keluarga dan masyarakat.
Tambahnya, vaksin merupakan rawatan alternatif terbaik dalam dunia perubatan hari ini.
Keputusan ini, katanya, berdasarkan kajian dan pertimbangan rasional yang bertepatan dengan syariat Islam yang mempromosikan kemaslahatan umum.
Islam turut menggalakkan umatnya supaya berubat dengan sumber yang sah di sisi syarak melalui Sabda Rasulullah SAW daripada Abi Darda’ Radiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:
“Maka berubatlah kamu dan jangan berubat dengan benda yang haram.”
Tegas khatib, program vaksinisasi yang diwujudkan kerajaan tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan individu semata-mata kerana ia merupakan usaha dan langkah mengekang penularan wabak Covid-19 agar masyarakat dapat kembali hidup secara normal.
“Secara tidak langsung ia dapat memulihkan negara yang terkesan dari sudut sosial dan ekonomi serta membina keyakinan dan jaminan keselamatan komuniti menjalani aktiviti kehidupan sosial pada masa akan datang.
“Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai andaian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin dengan tohmahan dan fakta berita yang kurang tepat disebarkan di media- media sosial.
“Ia seolah-olah menggambarkan pengambilan vaksin dianggap tidak selari dengan hukum dan syariat Islam," katanya.
Jelas khatib, hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam telah diputuskan sebagai harus dan wajib diambil selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020.
Khatib turut berpesan kepada semua umat Islam agar mengambil vaksin dan menggalakkan orang ramai untuk menyebarkan pemahaman yang betul tentang vaksin kepada masyarakat.
“Begitu juga, jauhilah perbuatan provokasi dan memanipulasi fakta di media-media sosial dengan mempertikaikan penyampaian maklumat kerajaan semata- mata untuk kepentingan agenda peribadi sehingga mempengaruhi orang lain.
“Jadilah warganegara yang bertanggungjawab bukan penghasut untuk kesejahteraan ummah. Sudah pasti, dengan berikhtiar pasti ada penawar di sebalik setiap penyakit yang diturunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.
Khatib berkongsi pesanan Rasulullah SAW melalui sebuah hadis daripada Jabir bin Abdillah Radiallahu’anhu yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin ALLAH Azza wa Jalla.” — Majoriti