ISLAM merupakan agama yang syumul, bermakna ia merangkumi segenap aspek kehidupan manusia yang tidak hanya terhad kepada akidah, ibadah dan akhlak, tetapi juga merangkumi gaya hidup.
Bagi seorang Muslim, ajaran Islam mencukupi bagi segala keperluan hidup kerana ia telah mengatur kehidupan umatnya daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya.
Setiap ajaran Islam mempunyai sebab dan manfaatnya tersendiri kerana ALLAH SWT Maha Mengetahui segala apa yang terbaik untuk hambanya.
Menerusi satu perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan oleh Tengku Ibrahim Helmi, Islam turut mengajar umatnya mengenai adab sebelum tidur seperti Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama ALLAH (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya ALLAH Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh.”
Selain itu, Tengku Ibrahim turut berkongsi satu lagi Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi yang bermaksud:
“Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.”
Menurutnya, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut menyatakan bahawa disunatkan untuk mengibas-ngibas tempat tidur sebelum berbaring di atasnya supaya tidak terdapat padanya apa-apa yang boleh membahayakan diri seperti ular, kala jengking atau seumpamanya.
Selain itu, turut dinasihatkan untuk mengibas tempat tidur dengan tangan yang dilindungi atau tertutup dengan kain supaya perkara-perkara yang membahayakan tersebut tidak membawa mudarat kepada individu itu.
“Selain itu, perintah ini juga adalah supaya manusia sentiasa menjaga kebersihan dan jauh daripada segala perkara yang boleh menyakitkan atau memberi mudarat.
“Al-Mubarakfuri telah menukilkan daripada al-Tibi yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW berpesan supaya mengibas terlebih dahulu tempat tidur kerana dia tidak tahu apa yang ada di atas tempat tidurnya saat dia keluar (atau tiada) seperti tanah atau kotoran atau hama,” ujarnya.
Jelas Tengku Ibrahim, pesanan ini merupakan bukti kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.
“Sehinggakan saat hendak tidur pun, baginda masih lagi mengingatkan umatnya agar mengibas tempat tidur supaya tiada serangga kecil atau hama yang akan mengganggu atau menyakiti mereka,” katanya. — Majoriti