TERDAPAT tiga kunci utama untuk umat Islam mengambil tauladan daripada kemuliaan Rasulullah SAW, kata khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 15 Oktober 2021.
Khutbah bertajuk Tauladan dari Utusan Mulia itu menjelaskan, tauladan pertama adalah Rasulullah SAW merupakan tauladan bagi pedoman hidup manusia.
Khutbah berkata, detik kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal tahun gajah telah mengubah lanskap masyarakat jahiliah ketika itu daripada kehidupan yang tiada pedoman kepada kehidupan agama, yang bermatlamatkan kejayaan dunia serta kepercayaan kesejahteraan hidup di alam akhirat.
“Bermula dengan terpadamnya api sembahan kaum Majusi dan runtuhnya singgahsana Raja Parsi yang gah pada ketika itu. Kejadian ini secara tidak langsung menjadi titik permulaan kepada petanda lahirnya seorang utusan akhir zaman yang akan menjadi suri tauladan buat sekalian insan,” katanya.
Khutbah berkata, ajaran dan panduan yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam bukan bertujuan untuk menyusahkan, namun ia sebagai panduan kearah kehidupan berkualiti yang seimbang antara dunia dan akhirat.
Katanya, ajaran dan panduan yang dibawa oleh Rasulullah SAW inilah sebenarnya panduan kepada keselamatan hidup manusia di dunia ini.
“Perkara ini ditegaskan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang teguh dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW),” katanya.
Melalui hadis itu, khutbah berkata, Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada umat Islam mengenai bekalan yang sangat berguna terhadap segala permasalahan dan cabaran yang sedang dihadapi dan ditempuhi pada masa ini.
“Jika kita hayati, kebanyakan kerosakan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat pada masa ini berpunca apabila manusia meninggalkan segala perintah Allah SWT dan ajaran daripada Rasulullah SAW.
“Bermula dari bangun tidur sehinggalah kita tidur kembali, segala panduan hidup telah diajarkan oleh baginda SAW,” katanya.
Khutbah berkata, kata kunci kedua adalah mencintai Rasulullah SAW merupakan wasilah bagi memperoleh rahmat Allah SWT.
Katanya, sambutan Maulidur Rasul bukan hanya satu bentuk lakonan seolah-olah hanya pada waktu-waktu tertentu umat Islam menzahirkan kecintaan terhadap Baginda SAW.
Malah, katanya, gaya hidup umat Islam sama ada dalam urusan ibadat, muamalat, munakahat, dan sebagainya menggambarkan keterampilan akhlak yang ditonjolkan oleh Baginda SAW.
Hal ini sekaligus membuktikan kecintaan mendalam terhadap Baginda SAW, kata khutbah.
“Oleh itu, cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah disemai dan dibajai dengan cinta kepada sunnah atau risalah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, bukan sekadar cinta kepada jasad dan keturunan Baginda SAW,” katanya.
Selain itu, khutbah berkata, kata kunci ketiga adalah Rasulullah SAW merupakan ikon kasih sayang, yang mana kecintaan Baginda SAW terhadap umatnya bukan sahaja di dunia semata-mata, malah melangkau jauh di akhirat kelak.
Khutbah berkata, ketika umat manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT terhadap setiap amalan mereka, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan daripada seksaan api neraka.
Malah, katanya, umat-umat terdahulu mencari nabi dan rasul mereka untuk mendapat bantuan, namun ditolak kecuali umat Nabi Muhammad SAW sahaja dikurniakan kelebihan tersebut.
“Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajabah, maka setiap Nabi doanya dimakbulkan segera, sedangkan saya menyimpan doaku untuk memberikan syafaat kepada umatku pada hari kiamat.
“Syafaat itu insya-Allah diperoleh umatku yang meninggal dunia (dalam keadaan) tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun,” katanya. — Majoriti