Salah di sisi syarak jika bayar zakat selain pihak berkuasa dilantik


  • Mukmin
  • Selasa, 12 Okt 2021

ZAKAT merupakan rukun Islam yang keempat.

ZAKAT merupakan rukun Islam keempat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang memenuhi segala syarat-syarat untuk menunaikannya.

Zakat dari segi bahasa bermaksud suci, subur, berkat, berkembang, berkat dan bertambah, manakala dari segi istilah zakat merupakan penyerahan yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan dari sumber yang baik yang dimiliki seseorang Muslim kepada golongan yang berhak menerimanya.

Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), khatib memberi peringatan kepada seluruh umat Islam tentang azab yang menunggu mereka yang sengaja tidak mahu membayar zakat melalui Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Taubah ayat 35 yang bermaksud:

“(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Menurut khatib, bayaran zakat haruslah diserahkan kepada pihak berkuasa yang dilantik oleh pemimpin di sesuatu kawasan.

Jelasnya, perbuatan menyerahkan zakat kepada pihak selain yang dilantik oleh pemerintah adalah salah di sisi syarak dan sistem pentadbiran sesebuah negara.

Tambah khatib, ia adalah bersandarkan sebuah dalil iaitu ketika mana sahabat Nabi Muhammad SAW, Muaz bin Jabal Radiallahu’anhu diutus ke Negara Yaman, dan baginda berpesan kepadanya:

“Maka khabarkan kepada mereka, bahawa ALLAH juga telah mewajibkan bagi mereka zakat dari harta mereka, iaitu diambil dari orang- orang kaya di antara mereka dan disalurkan untuk orang-orang fakir di kalangan mereka (di Yaman).”

Kata khatib, ahli fiqah menyatakan ini adalah dalil yang jelas bahawa harta zakat penduduk sesebuah negeri itu adalah hak asnaf di negeri berkenaan dan tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa keluar tanpa keizinan pemerintah di tempat berkenaan.

“Pernah terjadi kemarau panjang di Madinah dan ketika itu Umar al- Khattab Radiallahu’anhu menjadi khalifah, lalu Muaz bin Jabal Radiallahu’anhu telah membawa harta zakat penduduk Yaman ke Madinah untuk membantu mereka yang kelaparan. Namun Umar telah memarahi Muaz dan menolak pemberian itu, kerana harta zakat Yaman adalah untuk penduduk Yaman.

“Namun Muaz memberitahu, bahawa penduduk Yaman ketika itu berada dalam serba kecukupan, sedangkan penduduk Madinah sendiri sedang dalam kesempitan. Maka sebab itulah beliau membawa harta zakat itu ke Madinah. Mendengarkan hujah yang kuat itu, baharulah Umar mahu menerimanya demi maslahat penduduk Madinah,” katanya.

Menurut khatib, zakat menjadi asbab kepada bertambah suburnya harta kekayaan seorang hamba, sebagaimana yang diperingatkan oleh ALLAH SWT melalui Surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba- hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Manakala bagi penerima, tambah khatib, zakat adalah ibarat pelampung penyelamat di lautan yang mengelakkan mereka mati kelemasan. Malah, zakat menjadi tali perhubungan di antara orang kaya dan orang miskin yang sangat erat dan harmoni. — Majoriti

zakat, khutbah jumaat, Jais, rukun Islam