Dosa diampunkan apabila berselawat


  • Mukmin
  • Isnin, 11 Okt 2021

ANTARA amalan digalakkan semasa sambutan Maulidur Rasul adalah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. —Gambar hiasan/Kolej Vokasional Temerloh

UMAT Islam disarankan untuk berselawat, yang mana individu yang banyak berbuat demikian akan diampunkan dosa-dosa mereka, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, perkara itu direkodkan dalam sebuah hadis Nabi yang menceritakan mengenai kisah Saidina Ubai bin Ka’ab.

Katanya, Saidina Ubai bertanya kepada Rasulullah SAW berkaitan berapa banyak selawat yang seharusnya diungkapkan ke atas Baginda SAW.

“Lalu Rasulullah bersabda: Terserah kepadamu wahai Ubai.

“Sehinggalah di hujung dialog tersebut Ubai bertekad untuk menjadikan seluruh doanya mengandungi selawat kepada Baginda Nabi SAW.

“Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika demikian, Allah akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.”- Hadis Riwayat al-Tirmizi,” katanya menerusi laman Telegram.

Justeru, Ahmad Sanusi sekali lagi menasihatkan umat Islam supaya memperbanyak selawat ke atas Rasulullah SAW, kerana Allah SWT dan para malaikat turut berbuat perkara sama.

“Selawat bukan sahaja menjadikan kita lebih dekat dengan Rasulullah SAW, bahkan dosa kita berupaya diampunkan,” jelasnya.

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW, menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut pandangan sebahagian ulama seperti Imam al-Suyuti, beliau menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Antara amalan yang disarankan ketika sambutan Maulidur Rasul termasuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini jatuh pada 19 Oktober. — Majoriti

selawat, Rasulullah SAW, Maulidur Rasul